Daripada Ubadah bin Samit,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلاً بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ "
Sabda Rasulullah (ﷺ): "Emas hendaklah dibayar dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, dan garam dengan garam, sama banyak dan sama nilai, secara tunai (secara serah terima di tangan). Jika jenis barang tersebut berlainan, maka berjual belilah sesuka kamu sekiranya pembayaran dilakukan secara tunai" [Muslim].
Daripada hadith ini, para Fuqaha semua bersepakat bahawa emas, perak, gandum, barli, kurma, dan garam adalah barang ribawi. Daripada hadith ini juga, terdapat dua isu khilaf yang dibahaskan oleh para Fuqaha. Pertama adalah persoalan adakah barang ribawi hanya 6 barang ini sahaja atau tertakluk juga kepada barang selainnya, dan persoalan kedua adalah apa tanda atau ciri-ciri yang menyebabkan suatu barang tersebut adalah barang ribawi. Perbahasan ini diterangkan secara terperinci di dalam kitab Fiqh al-Riba Wa al-Sarf Wa al-Qurud Wa al-Nuqud, karya Sheikh Abdul Wahab Abdul Salam Tawiilah.
Adakah Barang Ribawi Hanya 6 Barang Tersebut?
Berdasarkan hadith tersebut, yang disebut secara jelas adalah 6 barang tersebut. Maka, Fuqaha berbeza pandangan terhadap persoalan ini. Pandangan mereka adalah seperti berikut:
- Pandangan 1 : Al-Kasani (Hanahiyah) dan Mazhab al-Zahari berpandangan bahawa barang ribawi hanya 6 barang tersebut.
- Pandangan 2 : Jumhur fuqaha berpandangan bahawa riba juga berlaku pada barang lain, melalui 'illah. Tidak terhenti / terhad kepada 6 barang tersebut sahaja.
Khilaf 'Illah Riba Menurut 4 Imam Mazhab
Setelah jumhur fuqaha sepakat bahawa riba juga berlaku kepada selain 6 barang tersebut melalui 'illah, mereka berbeza pandangan terhadap 'illah riba tersebut. Terdapat 3 pandangan yang diutarakan seperti berikut:
- Pandangan 1 : al-Hanafiyah dan Ahmad (pandangan yang Zahir & Masyur dalam Hanabilah) iaitu Dilarang al-Fadhl pada sesama jenis barang yang ditimbang (al-Wazan) dan yang disukat (al-Kil). Manakala dilarang al-Nasak pada barang yang ditimbang dan yang disukat walaupun berbeza jenisnya. Perincian adalah seperti berikut:
- Hanafiyah : 'Illah Emas dan Perak adalah ditimbang, maka setiap barang yang ditimbang seperti tembaga juga boleh berlakunya riba. 'illah untuk 4 barang yang lain adalah disukat. Maka, semua barang yang disukat juga boleh berlakunya riba samada makanan mahupun bukan makanan. Selain itu, kata kunci bagi ditimbang dan disukat adalah takaran (al-Qadar). Maka, jika wujud jenis yang sama dan takaran yang sama, maka diharamkan al-Fadhl dan al-Nasak. Namun, seandainya hanya wujud takaran tetapi tidak wujud jenis yang sama, maka diharamkan al-Nasak sahaja.
- Hanabilah (1) : Sama seperti Hanafiyah, cuma (di dalam kitab) tidak dimaklumkan berkenaan takaran. Selain itu, dimaklumkan bahawa barang yang secara urufnya tidak ditimbang (seperti tembaga yang ditempa), maka ia terkeluar daripada 'illah riba.
- Pandangan 2 : Malik, al-Syafie, dan pandangan kedua Ahmad iaitu 'illah emas dan perak adalah matawang atau (penentu) harga secara dominan (al-Thamaniyah Ghaliban), dan ia hanya terhad / terpakai kepada kedua barang itu sahaja. Maka, barang lain yang ditimbang tiada 'illah riba padanya. Berkenaan 4 barang ribawi yang lain, terdapat khilaf seperti berikut:
- Imam Malik berpandangan bahawa makanan asasi (al-Qut) yang boleh disimpan (al-Mudhakkarat) dan yang memberbaiki makanan pokok seperti lauk (al-Idam) yang disimpan, berlaku riba padanya.
- Imam Syafie (Qaul Jadid) dan Ahmad (riwayat kedua) berpandangan bahawa 'illah padanya adalah makanan yang dimakan secara dominan / kerap (Ghaaliban) mahupun jarang (Naadiran), baik yang dimakan oleh manusia mahupun haiwan, kecuali makanan yang dimakan oleh haiwan lebih dominan berbanding manusia. Ini termasuk juga ubat-ubatan.
- Imam Syafie (Qaul Qadim) dan Imam Ahmad (riwayat ketiga) berpandangan bahawa 'illahnya pada makanan yang ditimbang atau disukat bersama dengan jenisnya. Maka, tidak berlaku riba kepada makanan selainnya.
- Pandangan 3: Riwayat ketiga Imam Ahmad (yang dipilih oleh Imam al-Kharqi), iaitu semua 'Urudh diharamkan Nasak, sama ada jenis yang sama mahupun berlainan.
.jpg)
0 Comments