Umat Islam bebas berkarya, mencipta sesuatu selagimana tidak melanggar syariat. Hal ini termasuklah penulisan, ciptaan paten, nama perniagaan, dan lain-lain lagi. Di dalam kitab al-Muamalat al-Maaliyah al-Mu'asirah membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam dan terperinci.
Maksud Hak Cipta / Inovasi (Hukuk al-Ibtikar)
Hak Cipta ialah kuasa / pemilikan seseorang ke atas sesuatu yang bukan berbentuk fizikal (intangible assets), sama ada ia merupakan hasil idea / pemikiran, seperti hak cipta penulis dalam karya ilmiah dan sastera, atau paten dalam hasil industri, atau hasil daripada aktiviti komersial yang dilakukan oleh peniaga untuk menarik pelanggan, seperti nama perniagaan dan tanda dagangan.
Jenis hak ini tidak dibahaskan oleh ulama silam, tetapi ia datang hasil daripada perkembangan saintifik, budaya, ekonomi dan perindustrian. Hak cipta ini tidak dimasukkan ke dalam hak kebendaan (al-'Ainiyah) kerana ia bukan penguasaan langsung seseorang ke atas suatu benda, juga tidak dimasukkan ke dalam hak peribadi (al-Syahksiyah) kerana ia tidak memberikan pemiliknya hak untuk menuntut orang lain melaksanakan sesuatu tindakan tertentu atau dibebani dengan sesuatu perbuatan tertentu. Sebaliknya, ia adalah penguasaan seseorang ke atas sesuatu yang bukan fizikal.
Jenis Dan Hukum Hak Cipta / Inovasi Dalam Perspektif Syariat Islam
Di dalam kitab al-Muamalat al-Maaliyah al-Muasirah ini, tiga jenis Hak Cipta / Inovasi yang dibahaskan adalah Hak Pengarang (Ta'lif), Hak Paten (Baraah al-Ikhtira') dan Hak Nama Perniagaan (Ism al-Tijari).
1. Hak Pengarang (Ta'lif):
Makna ta'lif ialah apa sahaja yang mengandungi usaha kreatif, walau apa pun tahap kepentingannya, seperti seorang pengarang yang menghasilkan sesuatu yang baru yang belum pernah ada sebelum ini, atau mengembangkan kerja ilmiah melalui tafsiran dan perincian, atau membetulkan kesilapannya, atau menyempurnakan kekurangannya, atau meringkaskannya untuk memudahkan pelajar menghafal dan mengkajinya.
Masalah ini termasuk dalam masalah kontemporari / semasa yang tidak terdapat nas khusus dalam al-Quran, Sunnah, Ijmak, dan pendapat sahabat serta pandangan jumhur (majoriti ulama). Oleh itu, ulama kontemporari berbeza pendapat dalam menganggapnya sebagai hak yang memerlukan perlindungan undang-undang, terbahagi kepada dua pendapat:
Pendapat Pertama: Sebahagian ulama kontemporari, antaranya Dr. Ahmad al-Haji al-Kurdi, berpendapat bahawa hak cipta tidak diiktiraf, maka bayaran kewangan untuk hak ini tidak dibenarkan.
Pendapat Kedua: Ramai ulama kontemporari, antaranya Ustaz Mustafa al-Zarqa, Dr. Said Ramadan al-Buti, dan Dr. Wahbah al-Zuhayli, berpendapat bahawa hak cipta diiktiraf, maka bayaran kewangan untuk hak ini adalah dibenarkan.
Pendapat yang rajih adalah pendapat kedua.
2. Hak Paten (Bara'ah al-Ikhtira')
Jika hak pengarang berkaitan dengan karya sastera dan seni, maka hak paten berkaitan dengan karya perindustrian, seperti paten untuk penemuan (mesin/alat), atau paten untuk ubat bagi penyakit tertentu, dan lain-lain lagi.
Dalam kata lain, ia adalah Sijil rasmi umum yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti kepada sesiapa yang memohonnya dengan syarat-syarat bentuk dan ciri-ciri tertentu. Sijil ini mengandungi maklumat berkenaan ciptaan. Pemberiannya kepada pemiliknya dan penggantinya untuk tempoh tertentu mewujudkan hak eksklusif yang menghalang (orang lain) dan dilindungi melalui tuntutan peniruan dan penipuan.
Hak Paten Dalam Perspektif Syariat Islam:
Di dalam Islam, terdapat ruang yang luas untuk hak ini dan ia boleh dikeluarkan berdasarkan kaedah al-masālih al-mursalah. Asas kepentingan (maslahah) dalam melindungi hak ini adalah untuk menggalakkan ciptaan dan inovasi, supaya orang yang mencurahkan usahanya dalam mencipta mengetahui bahawa dia akan diberi keistimewaan.
3. Hak Nama Perniagaan (Ism al-Tijari)
Nama perniagaan merujuk kepada nama yang digunakan oleh peniaga sebagai tanda pengenalan, untuk membezakan dengan yang lain, supaya orang yang berurusan dengannya mengenali jenis barangan tertentu, layanan yang baik, kebijaksanaan, dan lain-lain lagi.
Nama perniagaan berkait rapat dengan reputasi, iaitu kemasyhuran dan pujian yang diterima. Nama perniagaan digunakan sebagai alamat yang diletakkan pada papan tanda premis, dokumen-dokumen khasnya, dan barangan yang dihasilkannya.
Nama Perniagaan Dalam Perspektif Syariat Islam:
Ulama kontemporari telah sepakat bahawa nama perniagaan adalah hak kewangan (haq al-Maali). Ia mempunyai nilai kewangan dan petunjuk perniagaan tertentu yang merealisasikan kelancaran (perniagaan) sesuatu barang yang membawa nama tersebut. Ia adalah milik pemiliknya, dan pemilikan membawa maksud keistimewaan, eksklusiviti, atau keupayaan untuk mendapat manfaat dan bertindak ke atasnya dengan menjual, menyewakan, atau lain-lain, serta mencegah orang lain daripada mencerobohinya / mengeksploitasikannya.
WallahuAlam
==========
*Pandangan peribadi penulis
**Rujukan: kitab al-Muamalat al-Maaliyah al-Muasirah
.png)
0 Comments