Insuran Dalam Muamalat : Jenis-jenis Ta'min Serta Hukumnya Menurut Fuqaha

 

Kewujudan jaminan keselamatan sebenarnya bukan baru muncul pada era kontemporari, tetapi ia telah lama wujud cuma berbeza bentuk dan kegunaannya. Pada zaman Nabi S.A.W, adanya gadaian yang berfungsi sebagai jaminan hutang. Kini, jaminan berevolusi dan telah memasuki berbagai sektor seperti kenderaan, perumahan dan termasuklah nyawa dan kesihatan.

Dari segi asas akad yang digunakan pula, jaminan telah menyeberangi sempadan akad Tauthiqat dan memasuki Tabarruat. Produk kontemporari seperti insuran & takaful ini dibahaskan dalam kitab-kitab fiqh dengan menggunakan nama Ta'min. 

Dari sudut bahasa, Ta'min ini berasal dari berkataan Amina, Aman, yang membawa maksud ketenteraman jiwa, tanpa risau. Di dalam kitab al-Muamalat al-Maaliyah al-Muasirah karya Dr. Muhammad Uthman Syabir, diterangkan perbezaan antara Nizam Ta'min (Sistem / Tadbir Urus Insuran) dengan Akad Ta'min (Kontrak Insuran).

Menurut ahli undang-undang, Nizam Ta'min ini membawa maksud satu usaha bantu-membantu antara sekumpulan / sesama manusia dalam menghadapi suatu risiko yang sama, sehingga risiko tersebut dibahagikan menjadi kecil dan dapat diatasi oleh mereka sekiranya risiko tersebut menimpa salah seorang daripada mereka. Dengan cara ini, satu kerugian besar dapat dielakkan oleh orang yang ditimpa risiko tersebut.

Nizam Ta'min menurut Sheikh / Ustaz Mustafa al-Zarqa ditakrifkan seperti berikut:

“Apa yang sering difahami oleh ahli / pakar undang-undang tentang sistem Ta'min ini ialah ia merupakan suatu sistem kerjasama / bantu-membantu dan solidariti yang berfungsi memecahkan risiko dan musibah kepada bahagian-bahagian kecil, kemudian mengagihkannya kepada seluruh peserta Ta'min melalui pampasan yang dibayar kepada pihak yang ditimpa musibah daripada dana yang dikumpulkan daripada bayaran premium mereka, supaya kerugian tersebut tidak ditanggung oleh orang yang ditimpa musibah itu seorang diri.”

Jenis-jenis Ta'min

Menurut kitab ini, para ulama mengklasifikasikan pembahagian Ta'min ini menurut institusi yang menubuh / melaksanakannya. Ia terbahagi kepada tiga, iaitu Ta'min Ta'awuni, Ta'min Tabaduli, dan Ta'min Tijari.

1. al-Ta'min al-Ta'awuni (al-Ijtima'i) / Insuran Kerjasama Masyarakat

Para ulama mentakrifkan Ta'min Ta'awuni ini adalah satu usaha yang dibina oleh Daulah (kerajaan) untuk maslahah pekerja dan kakitangan. Melalui sistem ini, mereka dilindungi daripada risiko seperti penyakit, ketidakupayaan bekerja dan hari tua. Dana bagi sistem ini disumbangkan oleh pekerja, majikan dan juga kerajaan. Ia tidak bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Sistem ini merangkumi beberapa bentuk berikut, antaranya:

i. Sistem Persaraan (pencen) - merujuk kepada pendapatan bulanan bagi yang mencapai usia warga emas, seperti 55 tahun bagi sesetengah negara, dan lain-lain.

ii. Sistem Jaminan (Keselamatan) Masyarakat - Penyediakan pampasan kepada pekerja yang menyertai institusi yang dimandatkan kerajaan. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini seperti penyakit, ketiadaan upaya, maka pampasan diberikan. Ini adalah hasil penolakan beberapa peratusan daripada pekerja sendiri, dan beberapa peratus daripada syarikat. *Contoh di Malaysia, seperti PERKESO, EPF, dll

iii. Insuran kesihatan (al-Ta'min al-Sihhi) - Apabila pekerja sakit, maka kerajaan akan berikan pampasan / rawatan yang diperlukan kepadanya, dengan bayaran sumbangan yang telah dibayarnya setiap bulan.

Hukum Ta'min Ta'awuni: Para Ulama menyatakan bahawa hukumnya adalah harus secara syara' takpa khilaf.

2. al-Ta'min al-Tabaduli / Insuran Timbal Balik

Ta'min Tabaduli pula berbeza dengan Ta'min Ta'awuni oleh kerana ia ditubuh dan dilaksanakan oleh sekumpulan manusia (seperti persatuan, koperasi, dll), bukannya kerajaan. Setiap ahli persatuan dan koperasi bersetuju untuk menyumbang secara sukarela, dan berikan pampasan kepada ahli yang ditimpa risiko seperti yang telah dipersetujui. Ta'min Tabaduli ini juga bukan berbentuk menjana keuntungan, sebaliknya lebih kepada memberikan pelindungan kepada setiap ahli.

Contoh pengamalannya adalah penduduk kampung, taman, atau persatuan kebajikan yang menyediakan tabung khas untuk ahli yang ditimpa musibah. Contohnya tabung kecemasan).

Hukum Ta'min Tabaduli ini juga sama seperti Ta'min Ta'awuni, iaitu para ulama sepakat tanpa khilaf hukumnya adalah harus.

3. Ta'min Tijari / Insuran Perniagaan (Kormesial)

Ta'min Tijari ialah insurans yang dijalankan oleh syarikat insurans kontemporari, menurut kontrak / akad yang dipersetujui antara pihak syarikat dengan individu yang bertujuan untuk melindungi individu tersebut daripada suatu risiko yang telah disepakati di dalam akad tersebut.

Ta'min Tijari ini terbahagi kepada tiga jenis, iaitu insuran harta benda, insuran jiwa, dan insuran liabiliti. Bagi insuran harta benda ini, ia bertujuan untuk memberikan perlindungan / pampasan seandainya risiko yang telah dipersetujui meninpa peserta, contohnya melindungi kedai daripada kebakaran, melindungi daripada rompakan, dan lain-lain.

Bagi insuran jiwa pula, syarikat akan memberikan sejumlah wang kepada penerimanya sekiranya peserta mati, atau masih hidup tetapi tidak sempurna dalam keadaan-keadaan tertentu. ia terbahagi kepada dua jenis lagi, iaitu insuran Hayat, dan insuran Kemalangan. Insuran Hayat terdapat tiga bahagian, iaitu:

i. Insuran kematian

ii. Insuran kelansungan hidup, dan

iii. Insuran bercampur (daripada kedua-dua jenis di atas.

Insuran Liabiliti pula insurans yang diambil oleh individu bagi melindunginya (hartanya) daripada risiko kerosakan yang menyebabkan kemudaratan kepada pihak ketiga. 

Hukum Akad Ta'min Tijari

Terdapat tiga pandangan berkenaan Ta'min Tijari ini, seperti berikut:

Pandangan pertama : Sebahagian daripada Ulama, dan majoriti daripada mereka berpandangan bahawa Ta'min Tijari adalah Tidak Dibenarkan. Ini kerana Ta'min Tijari mempunyai Gharar, Riba (Fadhl & Nasi'ah), dan Maisir (perjudian) yang merosakkan akad, dan mengandungi Bai' al-Dayn bi al-Dayn atau Bai' al-Kali bi al-Kali.

Pandangan kedua : Sebahagian Ulama yang lain berpandangan bahawa Ta'min Tijari adalah Dibenarkan. Ini kerana, ia adalah qiyas kepada Nizam al-'aqilah (sistem ahli yang menganggung diah / diat), mentakhrijkan akad Ta'min Tijari sebagai akad al-Muwalah, dan terdapat dua lagi pentakhrijhan. *Panjang perbahasannya. Boleh rujuk kitab, bermula ms 105.

Pandangan ketiga : Segolongan ulama kontemporari yang berpendapat untuk membezakan antara insurans ke atas harta (seperti kenderaan dan lain-lain) adalah Dibenarkan, dan insurans keatas hayat adalah Tidak Dibenarkan. Mereka berdalilkan kebolehterimaan insurans ke atas harta dengan dalil-dalil yang digunakan oleh ulama pada pandangan kedua, dan berdalilkan pengharaman insurans hayat dengan dalil-dalil ulama yang tidak membenarkannya, bahawa tiada keperluan untuk insurans hayat.

Pandangan Rajih menurut penulis adalah Pandangan Pertama.


WallahuAlam.

==========

*Pandangan peribadi penulis

**Rujukan: kitab al-Muamalat al-Maaliyah al-Muasirah


0 Comments