Hilah Dalam Muamalat Menurut Fuqaha

 


Hilah dari segi bahasa adalah ketajaman pandangan / pemikiran, dan keupayaan untuk mengurus / melaksanakan sesuatu, dan dari segi istilah pula adalah apa (sesuatu) yang digunakan sebagai jalan untuk mencapai objektif / tujuan dengan jalan yang tersembunyi, sama ada untuk membawa kenaikan mahupun untuk menolak kemudaratan. Di dalam kitab Fiqh al-Buyu' Wa al-Muassasat al-Maaliyah ini diterangkan perbezaan pandangan antara fuqaha' berkenaan Hilah ini kerena berbezanya penafsiran. Hukum Hilah ini ada dua, iaitu Harus, dan Haram.

i) Pandangan al-Maalikiyah dan al-Hanbaliyah

Semua perkara yang dilaksanakan dengan jalan Hilah adalah keji dan dilarang. Tidak dikira Hilah atau diharamkan kecuali bertujuan untuk membatalkan atau mengubah hukum. Maka (jika) tujuan tersebut adalah untuk menghalalkan apa yang diharamkan secara syara' dengan jalan tipudaya / sebab dan akibat oleh kerana adanya sebab-sebab tertentu, atau bertujuan untuk mengugurkan kewajipan keatas dirinya dengan jalan tipudaya / sebab dan akibat oleh kerana adanya sebab-sebab tertentu, maka (jika) pelaku melaksanakan Hilah dengan sebab-sebab tersebut, hukumnya adalah Haram.

Kata Imam al-Syatibi : Ia adalah perbuatan menukar hukum yang telah ditetapkan (Thabit) secara syara' kepada hukum lain dengan perbuatan yang sahih secara zahirnya.

Kata al-Hanbaliyah : Ia menzahirkan akad yang Harus, (tetapi) mahukan perkara Haram (dengan cara) menipu dan melakukan perkara yang diharamkan Allah, mengharuskan apa yang diharamkan, atau mengugurkan kewajipan, atau menolak hak, dan seertinya.

Antara Dalilnya :

i) Surah al-Bakarah ayat 65 & 66 yang mana Allah telah menukar umat terdahulu menjadi kera, kerana mereka telah dilarang untuk bekerja pada hari sabtu, lalu mereka berhilah dengan memasang jaring dan gali lubang / kolam sebelum hari sabtu. Apabila hari sabtu tiba, ombak datang dan membawa ikan masuk ke lubang / kolam tersebut, maka mereka menangkapnya selepas hari sabtu.

ii) Hadis : Daripada Abu Hurairah (RA), Rasulullah S.A.W telah bersabda : " Allah memerangi orang-orang Yahudi. Diharamkan lemak (haiwan) ke atas mereka, tetapi mereka menjadikannya lemak (yang cair) lalu mereka menjualnya dan memakan harganya."

Contoh Hilah :

- Seseorang mencampurkan dan memisahkan haiwan ternakan (yang disembunyikan) sebagai Hilah untuk tidak membayar zakat.

- Seseorang memberikan pinjaman serta menjual barang kepada si peminjam dengan harga yang lebih tinggi daripada nilainya yang sebenar, atau membeli barang daripada peminjam dengan harga yang lebih rendah daripada nilainya, sebagai jalan / cara untuk ambil gantian daripada pinjaman tersebut.

ii) Pandangan al-Hanafiyah dan al-Syafieyah

Dibenarkan Hilah pada perkara / perantaraan yang harus pada asalnya, dan sebab-sebab ketetapan syari'at untuk mencapai maksud / tujuannya. Dan sesungguhnya ia adalah jalan melepaskan diri daripada yang berdosa dan haram, dan jalan keluar kepada yang halal. Orang yang laksanakan hilah itu sebenarnya ingin elak yang haram, bukan untuk sampai kepadanya / mendapatkannya. Kecuali, jika bertujuan membatalkan hukum syarak atau mengubahnya, dan tujuan ini diketahui secara jelas atau (dijadikan sebagai) syarat dalam akad, atau membawa kemudaratan kepada seseorang / pihak.

Antara dalilnya :

i) Surah Sad ayat 44 yang mana Nabi Ayub AS diberi petunjuk untuk melaksanakan sumpahnya dengan mengambil seikat ranting seratus batang, dan memukul isterinya dengan satu pukulan sahaja sedangkan sumpah baginda adalah memukul isterinya seratus kali. Dengan ini, baginda telah menunaikan sumpahnya. Ini adalah sebahagian daripada jalan keluar dan pelepasan bagi sesiapa yang bertakwa dan beriman kepada Allah.

ii) Hadis : Daripada Abu Sa'id dan Abu Hurairah (RA) bahawa Rasulullah S.A.W melantik seorang pegawai di Khaibar, lalu pegawai itu datang membawa kurma Janib (kurma yang elok). Maka Rasulullah SAW bertanya: "Semua kurma Khaibar begini?" jawabnya: "Tidak, demi Allah wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami membeli satu gantang (kurma jenis ini) dengan dua gantang (daripada kurma campuran)." Maka Rasulullah SAW bersabda: "Jangan lakukan begitu !, tetapi Mithlan Bi Mithlin, atau juallah kurma (yang bermutu rendah itu) dengan harga dirham, kemudian belilah dengan dirham itu kurma yang baik."

Maka Nabi S.A.W telah menunjukkan jalan keluar kepada Bilal dan lainnya daripada muamalah yang mengandungi riba dengan cara yang mencapai tujuan, iaitu dengan menjual kurma yang ada pada mereka, kemudian membeli dengan harganya kurma yang baik. Dengan itu mereka terlepas daripada riba. Baginda tidak menyuruh mereka menjual kepada orang yang bukan dari kalangan mereka (pembeli yang sama), kerana jika perbuatan itu haram nescaya baginda akan melarang dan menerangkannya kepada mereka.

Mazhab al-Hanafi : Penggunaan Hilah (dengan niat yang baik / haq) masyur dalam kalangan Hanafiyah. Ia juga dikenali sebagai al-Makhaarij (jalan keluar). kata Imam al-Nasafi di dalam kitab al-Kafi, daripada Muhammad bin Hasan berkata : "Bukan daripada akhlak mukminin lari dari hukum Allah kepada yang bertujuan membatalkan yang hak.

Contoh Hilah di sisi Hanafiyah :

- Membeli sesuatu yang sedikit dengan harga yang mahal selepas mendapatkan pinjaman oleh kerana hajat / keperluan tanpa (pemberi hutang) menerima apa-apa manfaat tambahan daripada hutang. Contoh : sekiranya seseorang memberikan pinjaman sebanyak 100 dirham, dan menjual barang yang berharga 10 dirham dengan harga 20 dirham kepada penghutang, seandainya ia disyaratkan pada akad pinjaman tersebut, maka haram tetapi seandainya tidak menjadi syarat, maka tidak mengapa (menurut pandangan Muhammad bin Hasan).

Namun, terdapat juga fuqaha lain yang berpandangan bahawa ia makruh, dan tidak disukainya. Terdapat juga fuqaha yang berpandangan seandainya jualan dilaksanakan sebelum urusan pinjaman tersebut, maka tidak mengapa. Namun seandainya pinjaman sebelum urusan jualan maka ia Haram oleh kerana pinjaman tersebut yang menarik manfaat (jual barang menjadi lebih mahal).

Mazhab al-Syafie : Imam Syafie menyatakan di dalam kitab al-Umm bahawa : " Asal akad yang sahih secara zahirnya, aku tidak membatalkannya kerana tuduhan (sangkaan) atau kerana adat diantara dua pihak. Aku mengharuskannya dengan kesahihannya yang secara zahir, tetapi aku memakhruhkan berdasarkan niat mereka (yang tidak dizahirkan). Seandainya niat dizahirkan ia akan merosakkan akad."

Sebahagian fuqaha menyatakan Makhruh bagi Hilah yang menggugurkan hak seseorang / pihak. bahkan sebahagian daripada ulama' mazhab syafie menyatakan Makruh Tahrim seperti Imam al-Ghazali (dan berdosa jika pelaku berniat sebegitu).

Contoh Hilah di sisi Syafieyah :

- 1 Dinar bersamaan 10 Dirham. Seseorang yang mempunyai 5 Dirham mahu membeli 1 Dinar, lalu beliau membeli separuh Dinar dengan harga 5 Dirham tersebut (transaksi pertama). Kemudian, penjual memberikan 1 Dinar penuh tersebut kepadanya dengan mengambil hanya 5 Dirham, lalu pembeli tersebut meminjam 5 Dirham dari penjual (transaksi kedua) dan membayar hutangnya untuk dapatkan 1 Dinar penuh (hutang pada transaksi pertama). Hasilnya, pembeli berhutang dengan penjual 5 Dirham (hasil transaksi kedua), tetapi tidak berlaku riba (pada transaksi pertama). Hilah ini dibenarkan.

- Untuk jualan barang ribawi sejenis, kedua-dua pihak menghibahkan lebihan (haknya) kepada pihak lain, atau memberi hutang lalu melepaskan haknya. Selain itu, menggunakan barang dagangan sebagai perantaraan seperti menjual barang dengan harga 10 Dirham, kemudian menjual barang tersebut dengan harga 15 Dirham.

- Untuk barang ribawi sejenis yang memerlukan taqabudh adalah seseorang memberi pinjam / hutang satu barang ribawi tersebut, kemudian pihak lainnya memberikan satu barang ribawi sejenis setelah berpisah daripada majlis sebagai gantian.

Kesimpulannya, bagi yang mementingkan maksud dan tujuan akad seperti Maalikiyah dan Hanabilah, maka pada pandangan mereka Hilah tidak dibenarkan, manakala bagi yang mementingkan zahir seperti Hanafiyah dan Syafieyah maka Hilah adalah Harus. Selagimana mempunyai niat yang baik seperti elak dari terjebak dengan yang Haram ia tidak menjadi masalah. Namun, seandainya niat melaksanakan Hilah adalah untuk menggugurkan hak / kewajipan, atau membatalkan hukum syara', haram hukumnya.


WallahuAlam

==========

*Pandangan peribadi penulis

**Rujukan : kitab Fiqh al-Buyu' Wa al-Muassasat al-Maaliyah

0 Comments