Muamalat : Dua Dalam Satu Transaksi - Isu Dua Transaksi



Sambungan topik-topik yang dibahaskan bagi tajuk Dua Dalam Satu Transaksi di dalam kitab Fiqh al-Buyu' wa al-Muassasat al-Maaliyah adalah isu yang melibatkan dua transaksi yang berlaku secara nyata iaitu gabungan antara (apa-apa) dua akad dengan dua imbalan berbeza, jualan salah satu daripada dua barang yang berbeza pada satu harga, dan jualan & pertukaran matawang (Sarf).

iii. Jam'u Baina Ai Aqidain Bi 'Iwadain Mutamaiizin (Gabungan antara dua akad dengan dua imbalan berbeza)

Dan gambarannya adalah seperti berikut : "Aku jualkan kepadamu kebunku dengan harga sekian, dengan syarat engkau menjualkan kepadaku rumahmu atau kudamu dengan harga sekian, jika kewajipan (akad pertama) keatasku kepadamu terlaksana, maka kewajipan (syarat pada akad tersebut) keatasmu kepadaku juga terlaksana". Atau berkata seperti : Aku jualkan kepadamu kudaku dengan harga sekian, dengan syarat aku sewakan kepadamu rumahku, atau engkau sewakan rumahmu kepada kepadaku dengan harga sekian". Atau berkata seperti : "Aku jualkan kepadamu rumahku ini dengan harga sekian, dengan syarat aku jualkan rumahku yang lain kepadamu dengan harga sekian".

Kesemua ini (termasuk dalam kategori) dua jualan dalam satu jualan (Bai'ataan Fi Bai'ah), dan tidak dibenarkan salah satu jualan dariapda dua jualan.

'illah pengharaman

'illah pengharamannya adalah kerana kedua-dua pihak tidak mengetahui (Jahalah) harga sebenar bagi setiap satu dari dua jualan, serta tidak mengetahui tujuan / dasar bagi kedua-dua akad tersebut dilaksanakan. Tambahan, seandainya dipisahkan dua akad jualan tersebut, berkemungkinan kedua-dua pihak tersebut tidak akan bersetuju dengan salah satu daripada dua jualan tersebut.

Salah satu 'illah pengharaman juga adalah kerana bergantung (Ta'liq) dengan syarat yang tidak pasti, serta boleh berbeza (yang menyebabkan) tidak mencapai maksud / tujuan akad, kerana jika syarat tidak dilaksanakan, maka harga akan dijatuhkan (digugurkan), dan baki harga tersebut tidak diketahui. larangan ini terdapat pada hadith berkenaan larangan jualan yang mempunyai syarat membawa kepada jahalah.

Dirasah dan Ta'lil

Para fuqaha dari mazhab Malikiyah serta Imam Ibn Taimiyah tidak menerima tafsiran ini bagi dua jualan dalam satu jualan. Pada pandangan mereka, dibolehkan / dibenarkan pada contoh diatas serta sahnya satu akad yang mengandungi dua transaksi beserta dua imbalan.

Di dalam kitab al-Mudawwanah dinyatakan, aku berkata (soalan), jika seseorang menyatakan : "Aku menjualkan kepadanya hambaku dengan 10 dinar, dengan syarat dia menjualkan kepadaku hambanya dengan 20 dinar" ?, maka jawab Imam Malik : "Tidak mengapa seperti itu. Ia adalah hamba dengan hamba, dan penambahan 10 dirham". *Berkemungkinan kesalahan tulisan / cetakan.

Dan Ibn Taimiyah berkata dibolehkan jualan serta sewaan dalam satu akad menurut pandangan yang jelas dari ulamak. Dan katanya lagi, jika penjual menggabung dua akad yang berbeza hukum dengan dua imbalan yang berbeza, maka pembeli tidak boleh menerima salah satunya (imbalan tersebut).

Menurut Dr. Nazih Hammad, pandangan yang Rajih adalah pandangan al-Maalikiyah dan Ibn Taimiyah iaitu tidak terjadinya riba di dalamnya (untuk tafsiran gambaran dua jualan / transaksi dalam satu akad ini), dan dibenarkannya untuk mengangkat (meringankan) kesukaran (Raf' al-Haraj) dalam muamalat.

iv. Bai' Ihda Sil'atain Mukhtalifatain Bi Thaman Wahid (Jualan salah satu daripada dua barang yang berbeza dengan satu harga)

Gambarannya adalah seperti seseorang menjual kepada orang lain dua barang yang berbeza dengan satu harga, seperti pakaian atau kambing / biri-biri dengan satu dinar secara pasti / wajib. Sama juga seperti menjual dua barang dengan dua harga yang berbeza dengan syarat mesti laksanakan salah satu jualan tersebut.

Hal ini bermaksud, akad jual ini melibatkan dua jualan, tetapi hanya satu jualan sahaja yang akan disempurnakan  (dilaksanakan), diatas pilihan pembeli, walaupun kedua-dua jualan tersebut telah diikat (pada mula akad tersebut *iaitu fasa akad), atau salah satu jualan tersebut telah diikat.

Sebab larangan dalam kedua-dua contoh di atas adalah, kerana jualan berlaku secara pasti untuk kedua-duanya atau salah satunya. hal ini kerana penjual tidak mengetahui apa yang dia jual, dan pembeli juga tidak mengetahui apa yang dia beli. Maka, terdapat unsur Gharar (ketidakpastian).

Namun, jika tidak ada kepastian dan ada pilihan (Khiar), maka dibolehkan. Begitu juga, jika penjual jual dua barang secara serentak dengan satu harga, seperti sebuah rumah dan pakaian, maka ini diharuskan pada pandangan jumhur ulama kerana tidak termasuk dalam dua jualan dalam satu jualan, tetapi satu transaksi yang menggabungkan dua barang dengan satu harga yang diketahui.

v. Bai' wa Saraf (Jual dan pertukaran wang)

Gambarannya adalah seperti seseorang berkata : " Aku jual kepadamu barang ini dengan harga sekian, dengan syarat aku ambil darimu satu dinar dengan sejumlah dirham". Dan begitu juga dengan semua apa yang dijual dengan emas keatas (dengan syarat) mengambil dirham dengan pertukaran sepertinya. Terdapat perbezaan pandangan terhadap hukum ini:

- Jumhur berpandangan bahawa jualan yang mengandungi transaksi seperti ini batal.

- Maalikiyah berpandangan bahawa ia dibolehkan.

Penulis mengambil pandangan Dr. Nazih Hammad berkenaan akar permasalahan ini dengan menyatakan asas bagi Hanafiyah, Hanaabilah dan sebahagian Syafieyah dalam isu dua jualan dalam satu transaksi ini adalah berkenaan penafsiran. Mereka mengkiaskan / menisbahkan gabungan akad kepada salah satunya. oleh itu, dua akad dengan dua gantian yang berbeza tidak diharuskan. Manakala Maalikiyah dan Ibn Taimiyah pula tidak bersetuju dengan penafsiran tersebut.

Dr. Nazih Hammad menyatakan pandangan yang lebih tepat adalah pandangan Maalikiyah dan Ibn Taimiyah. Beliau menambah pandangan Rajih untuk penafsiran dua jualan dalam satu transaksi adalah seperti berkata : "Aku jual kepadamu barang ini dengan harga seratus dalam masa setahun, dengan syarat aku membelinya semula daripadamu dengan (harga) lapan puluh tunai". *Mirip Bai' Inah.


WallahuAlam.

==========

*Pandangan peribadi penulis

Rujukan: kitab Combination of Contracts in Islamic Finance, Qadaya Fiqhiyaah Muasirah Fi al-Maal Wa al-Iqtisad, dan Fiqh al-Buyu' wa al-Muassasat al-Maaliyah 

0 Comments