Konsep dua dalam satu tansaksi ini telah lama dilaksanakan. Terdapat hadith yang melarang pelaksanaan dua dalam satu transaksi ini. Dari Abdul Rahman bin Abdullah bin Mas'ud daripada ayahnya berkata: Rasulullah S.A.W melarang dua akad (Safqatain) dalam satu transaksi. Terdapat juga hadith yang melarang dua akad jual beli dalam satu transaksi. Para fuqaha sepakat berkenaan larangan ini, namun berbeza pandangan pada jenis akad yang dilarang untuk dua dalam satu transaksi ini. Dalam pada masa yang sama, di dalam kitab Combination of Contracts in Islamic Finance, karya Dr. Shahrul Azman Abd. Razak menyatakan bahawa asas bagi keharusan penggabungan kontrak yang berbeza ada dua, yang pertama adalah Kaedah Fiqh : hukum asal bagi muamalat adalah Harus melainkan ada dalil pengharamannya, dan yang kedua adalah kebebasan untuk berkontrak. Walau bagaimanapun, ia tidak bermaksud semua penggabungan kontrak adalah dibenarkan.
Di dalam kitab Qadaya Fiqhiyaah Muasirah Fi al-Maal Wa al-Iqtisad karya Dr. Nazih Hammad membahagikan topik perbincangan ini kepada dua topik yang berbeza, iaitu al-Bai'atan Fi Bai'ah dan al-Safqatan Fi Safqah. Namun, di dalam kitab Fiqh al-Buyu' wa al-Muassasat al-Maaliyah karya Abdul Wahab Abdul Salam Tawiilah menyatakan bahawa menurut pandangan jumhur, al-Bai'atan Fi Bai'ah dan al-Safqatan Fi Safqah membawa makna yang sama. Hanya Hanafiyah yang membezakan keduanya dengan membawa maksud al-Safqatan Fi Safqah umum, manakala al-Bai'atan Fi Bai'ah khusus (sub topik) yang hanya fokus kepada jual beli, sedangkan al-Safqatan Fi Safqah boleh jadi (gabungan akad antara) pinjaman dengan jualan, sewaan dengan jualan, I'arah dengan jualan, musyarakah dengan sewaan, dan hibah dengan saraf.
Itfaq fuqaha bahawa dua jualan dalam satu transaksi adalah tidak patuh syariah secara umum, namun terdapat perbezaan pandangan pada kandungan dan 'illahnya. Perbezaan pandangan tersebut meliputi beberapa jenis keadaan / situasi seperti berikut:
i. al-Bai' Bithaman 'Ajil Au Bithaman Aajil min ghair Ta'yiin (Jualan secara tunai atau tangguh tanpa spesifik / detail)
Gambarannya adalah seperti : "Aku jualkan barang ini dengan (harga) seratus dirham secara tunai, atau seratus lima puluh secara tangguh selama setahun", dan pembeli menerimanya tanpa memaklumkan / mengspesifikkan harga / nilai lalu mereka berpisah (daripada majlis akad). Maka terjadinya jual beli ini tanpa spesifikkan harganya. Ini yang dimaksudkan sebagai dua jual beli dengan dua harga, dan termasuk dalam bab Itlaq keseluruhan keatas sebahagian (juz), kerana harga adalah sebahagian daripada rukun jualan.
Atau pembeli berkata : "jual kepadaku barang ini dengan (harga) satu dinar atau dengan seekor kambing / biri-biri untuk satu tempoh yang akan datang (secara tangguh)", lalu mereka berpisah, maka terjadinya jualan ini dengan salah satu harga tersebut tanpa spesifikkan harganya. Situasi ini adalah sama seperti dua jual beli dalam satu transaksi.
'illah pengharaman
- Sebahagian fuqaha, antaranya Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi'e menyatakan 'illah pengaharaman adalah ketidaktahuan (Jahalah) pada harga oleh kerana jualan untuk sesuatu barang itu mempunyai dua harga yang berbeza. Oleh itu, ia membawa kepada ketidak-stabilan jualan dan keraguan kepada kedua-dua pihak, dan penjual tidak mengetahui harga (yang dipersetujui) dalam akad jualan tersebut, maka ia termasuk dalam jualan gharar yang ditegah.
- Pada pandangan Imam Malik pula adalah Sad al-Zari'ah bagi kewujudan riba. Ini kerana boleh jadi pihak yang mempunyai pilihan (khiar) pilih salah satu daripada harga (semasa akad), kemudian menukarnya tanpa memaklumkannya lalu meninggalkan harga pertama (yang telah dipilih semasa akad tadi) dan memilih harga kedua. Maka termasuklah / terjadilah ia (pertukaran) harga dengan harga secara tangguh (Nasiah) atau secara tangguh dengan penambahan (yang membawa kepada riba al-Nasiah dan riba al-Fadhl).
- Tambahan : Al-Manawi menyatakan larangan /pengharamannya adalah kerana Jahalah pada harga, dan 'illahnya adalah kerana riba, seperti yang dinyatakan pada hadith oleh Abu Hurairah R.A (berkenaan harga yang lebih rendah atau riba).
Dirasah dan Ta'lil
ii. al-Bai' Bi al-Taqsit (Jualan secara tangguh)
Ia adalah jualan dengan bayaran tangguh yang dibayarkan kepada penjual secara berperingkat berdasarkan persepakatan, dan penjual memberikan barang yang dijual kepada pembeli. Kebiasaannya harga adalah lebih tinggi berbanding jualan tunai.
Berdasarkan jumhur, hukumnya adalah dibenarkan harga bagi jualan bayaran tangguh ini melebihi tunai, dengan syarat kedua-dua pihak maklum akan tempohnya, dan harganya disepakati sebelum berpisah, kerana ini jualan bukan pinjaman, dan bukan jualan melibatkan barang ribawi.
Adakah dibenarkan sebut harga (yang berbeza) berdasarkan tempoh (yang berbeza)?
Jika penjual menyatakan harga yang berbeza berdasarkan tempoh (yang berbeza), seperti: " Aku jualkan kepadanya berharga 10, dalam tempoh sebulan, dan berharga 12 dalam tempoh dua bulan", maka tidak mengapa jika mereka bersepakat pada harga dan tempoh yang disepakati sebelum mereka berpisah. Ini kerana penambahan pada harga adalah selepas persetujuan kedua pihak pada salah satu harga, bukan penambahan yang bersifat faedah (seperti riba).
*Abdul Wahab Abdul Salam Tawiilah turut memasukkan keputusan Majma' al-Fiqh di dalam kitabnya, Fiqh al-Buyu' wa al-Muassasat al-Maaliyah. Untuk topik pertama (i), saya tidak mendapati penulis memaklumkan pandangan rajih menurutnya dan topik kedua (ii), saya tidak menjumpai khilaf di dalam kitab ini.
WallahuAlam
==========
*Pandangan peribadi penulis
**Rujukan: kitab Combination of Contracts in Islamic Finance, Qadaya Fiqhiyaah Muasirah Fi al-Maal Wa al-Iqtisad, dan Fiqh al-Buyu' wa al-Muassasat al-Maaliyah
.jpg)
0 Comments