Kesan Syarat Tidak Sahih Dalam Akad Muamalat Menurut Fuqaha'

 

Kesan yang dimaksudkan ke atas syarat yang tidak sahih dalam akad adalah hukum yang terbit keatasnya, sama ada menjadi akad batil, akad fasid, mahupun tidak fasid (akad tidak rosak). Di dalam kitab al-Madkhal, diterangkan perbezaan pandangan fuqaha' / mazhab berkenaan kesan syarat tidak sahih ini keatas akad, seperti di bawah:

1. Kesan syarat tidak sahih pada pandangan al-Zahiriyah 

Pada pandangan mazhab al-Zahiri (al-Zahiriyah), apabila syarat tidak sahih pada suatu akad, maka kesannya akad tersebut menjadi rosak kerana akad hanya terbina di atas syarat yang sah.

2. Kesan syarat tidak sahih pada pandangan al-Syafieyah

Syafieyah membezakan kesan ke atas syarat tidak sahih pada akad ini kepada dua jenis akad yang berbeza, iaitu bagi akad muamalat al-maaliyah dengan akad nikah. Untuk mualamat al-Maaliyah, syarat tidak sahih menyebabkan akad tersebut rosak seandainya terikat / bergantung dengan akad yang sahih (berdasarkan pandangan sahih dalam mazhab). Manakala untuk akad nikah, syarat tidak sahih tidak menyebabkan akad (nikah) tersebut rosak. Ini adalah pandangan yang masyur (dalam Syafieyah).

3. Kesan syarat tidak sahih pada pandangan al-Hanafiyah

Hanafiyah pula membezakan kesan ke atas syarat tidak sahih pada akad kepada dua jenis akad yang berbeza iaitu Mu'awadat al-Maaliyah (pertukaran harta) dengan Mu'awadat Ghair al-Maaliyah (pertukaran bukan harta).

i. Mu'awadat al-maaliyah

Dalam akad jenis Mu'awadat al-Maaliyah ini, juga dibahagikan kepada dua lagi jenis iaitu syarat tidak sahih yang merosakkan akad, dengan syarat tidak sahih yang terbatal, tetapi baki akadnya sahih. Syarat tidak sahih yang merosakkan akad adalah akad di mana dalamnya terdapat syarat yang / membawa kepada haram, seperti riba, gharar. Manakala untuk syarat tidak sahih yang terbatal, tetapi baki akadnya sahih pula, kesan kepada akad kekal sahih kerana tidak mempunyai unsur riba. Selain itu, termasuk dalam keadaan ini adalah apabila disyaratkan manfaat diberikan kepada orang selain daripada pihak yang berakad.

ii. Mu'awadat Ghair al-Maaliyah

Bagi akad Mu'awadat Ghair al-Maaliyah dan Tabarru'at, seperti nikah, hibah, pinjaman (Qard), kafalah, akad jenis ini tidak terkesan dengan syarat tidak sahih.

4. Kesan syarat tidak sahih pada pandangan al-Maalikiyah

Maalikiyah membezakan kesan syarat tidak sahih pada akad ini kepada dua jenis akad yang berbeza iaitu Mu'amalat dan Nikah. Untuk Muamalat, dipecahkan lagi kepada 3 jenis, seperti di bawah:

i. Syarat yang memfasakhkan (membatalkan) akad dalam semua keadaan, iaitu syarat yang mengandungi riba, gharar, jahalah (ketidaktahuan) atau syarat-syarat lain yang melanggar / menyalahi syarat sahih.

ii. Syarat yang memfasakhkan akad, selagimana pihak yang meletakkan syarat tersebut mempertahankannya / mengekalkannya, seandainya syarat tersebut diturunkan / digugurkan, maka akad tersebut menjadi sah selagimana al-Mu'awwad (barang pertukaran) tersebut masih berdiri (elok) dan tidak tamat tempoh (tidak rosak).

iii. Syarat batal tetapi akad sahih, berlaku dalam keadaaan dimana rosak syaratnya kecil / ringan, seperti syarat itu tidak menyentuh / memasuki bahagian harga.

Adapun untuk akad nikah, pendapat yang masyur dalam Maalikiyah adalah syarat tidak sahih menjadikan akad nikah tersebut fasakh (batal) jika sebelum al-Dukhul (bersama). Adapun selepas bersama, maka akad tersebut dikekalkan dan syarat tidak sahih tersebut dibatalkan.

5. Kesan syarat tidak sahih pada pandangan al-Hanaabilah

Berkenaan kesan syarat tidak sahih kepada akad ini pada pandangan Hanaabilah terbahagi kepada dua, iaitu yang merosakkan akad, dengan yang tidak merosakkan akad.

Untuk yang merosakkan akad, pada pandangan Hanabilah adalah terdapatnya akad yang lain di dalam satu akad (2 dalam 1), terdapat 2 syarat dalam 1 akad, terdapatnya syarat had masa dalam nikah (seperti nikah Mut'ah dan nikah Muhallil), terdapatnya syarat menafikan yang halal dalam perkahwinan, terdapat syarat khiar (pilihan) fasakh perkahwinan, dan nikah syighar.

Untuk yang tidak merosakkan akad pula, termasuk di dalamnya adalah syarat yang tidak menyokong (menyalahi) maksud / tujuan akad. Contohnya penjual mensyaratkan pembeli tidak boleh menghadiahkan atau menjual barang yang dibelinya kepada orang lain, syarat yang mengandungi benda / perkara yang haram seperti gadaian arak atau khinzir, syarat yang mengandungi jahalah (ketidaktahuan), seperti pembeli mensyaratkan khiar dan tempoh masa / tangguh yang tidak diketahui.

6. Kesan syarat tidak sahih pada pandangan Sheikh al-Islam Ibn Taimiyah

Pada pandangan Ibn Taimiyah, kesan syarat tidak sahih pada akad ini terbahagi kepada dua, iaitu syarat yang menyalahi maksud / tujuan asal akad, dan syarat yang menyalahi maksud / tujuan syara'.

Untuk syarat yang menyalahi maksud / tujuan asal akad, oleh kerana suatu akad itu ada tujuannya namun syarat tersebut menafikan tujuan asal akad tersebut, maka syarat tidak sahih ini memberi kesan batal kepada akad tersebut.

Manakala untuk syarat yang menyalahi maksud / tujuan syara' yang bertentangan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah, seperti riba, arak, dan lain-lain, ia terbahagi kepada dua pula, iaitu orang yang mengetahui akan haramnya syarat tersebut, dengan orang yang tidak mengetahuinya.

i. Orang yang mengetahui haramnya syarat

Jika orang yang meletakkan syarat tersebut tahu akan haramnya syarat itu, maka syarat tersebut batal tetapi akad tersebut kekal sah.

ii. Orang yang tidak mengetahui haramnya syarat

Jika orang tersebut tidak mengetahuinya dan dia sangka (Syak) akan syaratnya tidak haram, maka diberikan kepadanya pilihan (Khiar).

Perbandingan antara pandangan fuqaha':

i. Berdasarkan pandangan jumhur seperti di atas, syarat tidak sahih membawa implikasi kepada akad, iaitu batil / fasid, sedangkan Ibn Taimiyah pula membezakan antara orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui. 

Pandangan yang Rajih (menurut penulis) adalah pandangan Ibn Taimiyah.

ii. Bagi isu syarat yang menafikan maksud / tujuan akad, menurut jumhur (termasuk Ibn Taimiyah) adalah terbatalnya akad, manakala Maalikiyah pula berpandangan bahawa seandainya pemilik syarat melepaskan syarat tersebut, maka akad tersebut tidak rosak (jika dikekalkan syarat tersebut, baru batal akad).

Pandangan yang Rajih adalah pandangan Maalikiyah.

iii. Untuk isu ketiga, iaitu syarat tidak sahih pada akad nikah menurut jumhur bahawa ia tidak membatal akad, hanya syarat tersebut sahaja terbatal, manakala menurut pandangan Ibn Taimiyah pula adalah akad nikah adalah sama seperti akad-akad yang lain, dan pandangan yang Rajih adalah pandangan Jumhur.

Infografik ringkas adalah seperti berikut

WallahuAlam.

==========

*Pandangan peribadi penulis

**Rujukan: Kitab al-Madkhal Ila Fiqh al-Muamalat al-Maaliyah

0 Comments