Selain isu-isu muamalat yang umum, sebenarnya para fuqaha juga membincangkan tentang masalah ekonomi seperti masalah inflasi (al-Tadakhum) yang berkait rapat dengan sistem wang kertas sekarang ini. Pada tahun 1971, nilai wang kertas tidak lagi disandarkan pada emas, tetapi hanya kepada kepercayaan (permintaan) orang. Senang kata, kalau orang 'yakin' maka nilai mata wang tersebut akan naik.
'Yakin' bagaimana? Dengan cara naiknya OPR, maka pulangan faedah akan bertambah dan pelabur luar akan melabur dalam negara. Dengan cara eksport (barang dagangan, komoditi, dll) maka permintaan mata wang sesebuah negara akan meningkat sekaligus menaikkan nilai mata wang. Begitu juga dengan pelancongan (pelancong luar datang negara kita, gunakan wang kita).
Namun, nilai mata wang juga boleh menurun. Salah satu puncanya adalah inflasi yang datang daripada pinjaman perbankan. Ini kerana apabila ramai orang membuat pinjaman daripada bank, maka jumlah wang akan menjadi lebih banyak daripada yang sepatutnya (wang baru dicipta melalui sistem perbankan sebahagian rizab - fractional reserve banking). Ini memberi kesan terhadap nilainya (menurun).
Yang berperanan dalam mengawal inflasi ini adalah bank pusat sesebuah negara. Apabila inflasi naik, maka OPR dinaikkan bagi mengimbangi nilai mata wang negara tersebut. Apabila nilai mata wang terlalu tinggi, maka OPR direndahkan untuk menyederhanakan nilai mata wang. Kenapa nak sederhanakan nilai mata wang? Banyak faktornya. Contohnya Malaysia negara pengeluar komoditi. Kalau komoditi kita mahal (sebab nilai mata wang naik), maka komoditi kita tidak kompetitif di negara luar dan mengakibatkan eksport kita rendah.
Di dalam kitab al-Mu'amalat al-Maaliyah al-Mu'asirah, diterangkan pandangan fuqaha tentang perubahan nilai wang kecil (Fulus) dan wang kertas (Nuqud al-Warqiyah) dalam urusan pinjaman.
Perubahan Nilai (Qimah) Fulus / Wang Kecil
Fuqaha membincangkan masalah ini apabila berlakunya pinjaman serta perubahan nilai fulus dalam tempoh pembayaran tersebut. Adakah bayaran balik berdasarkan jumlah yang sama (contoh: pinjam 50 sen, bayar juga 50 sen walaupun inflasi menyebabkan nilai berubah) ataupun bayaran balik mengikut nilai semasa (contoh: pinjam 50 sen, bayar 70 sen - oleh kerana inflasi menyebabkan nilainya menurun). Terdapat tiga pandangan fuqaha bagi isu ini, seperti berikut:
- Pandangan 1 : Imam Abu Hanifah, pandangan mashyur dari Malikiyah, Syafieyah, dan Hanabilah berpandangan bahawa wajib bagi penghutang untuk menjelaskan bayaran berdasarkan (jumlah) wang yang sama seperti yang dinyatakan di dalam akad tanpa pertambahan atau pengurangan. Ini kerana jika berlaku hal tersebut, maka berlakulah riba dan tidak dibenarkan oleh syara'.
- Pandangan 2 : Abu Yusuf berpandangan bahawa wajib pembayaran dilaksanakan mengikut nilai semasa pembayaran dilaksanakan. Untuk jual bali, bayaran berdasarkan nilai sewaktu akad dilaksanakan, manakala untuk pinjaman adalah berdasarkan nilai sewaktu pembayaran dilaksanakan.
- Pandangan 3 : Malikiyah berpandangan bahawa dibezakan antara perubahan nilai yang berlaku kecil ataupun besar. Seandainya perubahan nilai kecil, maka tiada perubahan (bayar berdasarkan jumlah asal), dan seandainya perubahan nilai tersebut besar maka pembayaran perlu dilaksanakan berdaasrkan nilai yang baru.
- Pandangan yang rajih adalah pandangan 3, iaitu pandangan Malikiyah.
Perubahan Nilai (Qimah) Mata Wang Nuqud al-Warqiyah / Wang Kertas
Berkenaan perubahan nilai mata wang oleh inflasi, di dalam kitab dicatatkan bahawa ia mengurangkan kuasa beli dari tahun ke tahun. Turut dicatatkan bahawa puncanya adalah kerana riba (punca penciptaan wang baru tanpa aktiviti ekonomi yang sebenar), turunnya produktiviti / pengeluaran (kelemahan ekonomi oleh kerana kemalasan orang untuk bekerja), dan peperangan. Bagi isu perubahan nilai mata wang kertas ini, terdapat 2 pandangan, iaitu:
- Pandangan 1 : Terdapat ulama kontemporari antaranya Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar yang berpandangan bahawa wajib untuk membayar berdasarkan nilai wang kertas semasa. Ini kerana beliau berpandangan bahawa pandangan yang memadankan hukum wang kertas dinilai sama seperti emas dan perak adalah tidak tepat. Menurut beliau, emas mempunyai tiga ciri iaitu sebagai ukuran nilai (emas mempunyai nilai yang tetap / thabit), mempunyai ciri sebagai penyimpan nilai (nilai tidak berkurang dimakan inflasi), dan sebagai alat pertukaran, manakala wang kertas hanya mempunyai dua sahaja.
- Pandangan 2 : Terdapat sebahagian ulama kontemporari antaranya Dr. Ali al-Salus yang berpandangan bahawa wajib untuk membayar berdasarkan jumlah yang sama, bukan berdasarkan nilai (walaupun) dalam keadaan nilainya naik turun. Hal ini tidak termasuk dalam keadaan ketika wang kertas terputus (tidak lagi diedarkan) ataupun wang kertas tersebut tidak lagi digunakan. Ini kerana wang kertas mengambil hukum emas dan perak.
Bagi permasalahan ini, Dr. Muhammad Uthman Thabir (pengarang kitab) tidak menyatakan pandangan yang rajih. Namun, beliau membuat ulasannya bahawa pandangan kedua adalah pandangan yang sebahagian besar ulama mengguna pakai, termasuklah Majlis Majma' al-Fiqh al-Islami. Beliau juga menyatakan bahawa sukar untuk menguatkan salah satu pandangan oleh kerana menggunakan wang kertas sebagai kayu ukur adalah tidak tepat kerana nilainya yang tidak thabit seperti emas.
Satu lagi masalah adalah pandangan yang menyatakan pembayaran berdasarkan jumlah yang sama (pandangan 2) akan menyebabkan kezaliman oleh kerana nilai semasa tidak sama (sentiasa berubah), manakala pandangan yang menyatakan pembayaran berdasarkan nilai semasa (pandangan 1) pula terdedah dengan riba, sekaligus menghalalkan riba yang diamalkan oleh bank riba (konvensional) dan lain-lain.
Terdapat beberapa cadangan oleh pengarang kitab, antaranya adalah:
- Meninggalkan pandangan yang menyatakan wang (fulus & wang kertas) mengambil hukum emas & perak, sebaliknya mengambil hukum 'Urudh. Oleh itu, tiada masalah jika berlaku penambahan atau lewat penyerahan. Namun, pengarang juga memaklumkan bahawa masalah pinjaman tidak akan selesai oleh kerana setiap (penambahan) manfaat yang diterima daripada pinjaman adalah riba.
- Menetapkan wang kertas mengambil hukum emas & perak kerana masih mempunyai nilai (Thamaniyah), tetapi nilai (Qimah) wang kertas mesti sentiasa terkini (penyesuaian nilai) berdasarkan nilai rasmi (nisbah inflasi) yang dikeluarkan oleh badan berautoriti (ditentukan oleh pakar ekonomi, kewangan, dan sebagainya). Ini bagi mengelakkan berlakunya zalim kepada pemiutang (baik untuk jual beli berasaskan bayaran tertangguh mahupun pinjaman).
- Kembali menggunakan emas sebagai pengukur nilai bagi barang dan perkhidmatan. Bagi masalah yang timbul daripada wang kertas, perlulah diselesaikan / dirujuk kepada hakim. Menjadikan emas sebagai pengukur nilai tidak bermakna wang kertas tidak lagi digunakan. Wang kertas masih boleh digunakan untuk urusan pertukaran / jual beli segera. Untuk yang bersifat tangguh, maka perlulah menggunakan emas.
.jpg)
.jpg)
0 Comments