Jenis-Jenis Pemilikan Dalam Muamalat

 


Pemilikan harta boleh berubah mengikut keadaan. Ada yang melalui kerelaan satu pihak seperti pemberian / hadiah, kerelaan antara pihak yang terlibat seperti jual beli, mahupun tanpa kerelaan seperti rampasan. Contoh-contoh tersebut menceritakan tentang perubahan pemilikan dari satu pihak ke pihak yang lain. Namun, pernah terfikir tak adakah pemilik itu memilikinya secara sempurna atau tidak? kitab al-Madkhal membahaskan tentang jenis-jenis pemilikan dalam muamalat ini secara terperinci.

  • Pemilikan Sempurna (al-Milkiyah al-Taamah)
Pemilikan sempurna ini merujuk kepada individu / pihak yang memiliki hak penggunaan (Tasarruf) keatas suatu objek tersebut secara barang / zatnya ('Ain) dan manfaat objek tersebut.

Turut dimaklumkan bahawa pemilikan sempurna mempunyai 5 ciri berikut:

i. Sempurna / kebebasan penggunaannya (Tasarruf Kaamilah) iaitu pemilik objek tersebut boleh menggunakannya secara bebas, sama ada menjualnya, menggunakan manfaatnya, menyewanya, menjadikannya sebagai hadiah, dan lain-lain.

ii. Bebas memanfaatkannya iaitu pemilik bebas memanfaatkan objek tersebut dalam apa-apa bentuk yang patuh syariah.

iii. Tiada had masa pemilikan iaitu tiada tempoh pemilikan barang tersebut melainkan barang tersebut musnah, atau dipindah milik kepada orang / pihak lain (secara patuh syariah), atau melalui mirath seandai pemiliknya meninggal dunia.

iv. Tidak perlu ganti rugi iaitu seandainya pemilik barang merosakkan barang tersebut, pemiliknya tidak perlu membayar ganti rugi. Dan

v. Tidak tergugur / terlucut pemilikan iaitu objek tersebut kekal menjadi milik pemiliknya walau pemiliknya menyatakan mahu menggugurkan pemilikannya terhadap barangnya tersebut (al-Saaibah). Konsep as-Saaibah tidak diterima di dalam Islam. 

  • Pemilikan Tidak Sempurna (al-Milkiyah al-Naqisah)
Pemilikan tidak sempurna adalah apa yang dimiliki oleh seseorang / suatu pihak barangnya ('Ain) sahaja tanpa memiliki manfaatnya, atau memiliki manfaatnya sahaja tanpa barang ('Ain) nya, sama ada manfaat itu berbentuk peribadi atau objek. Maka, dalam pemilikan tidak sempurna ini tidak bercampur antara hak milik barang ('Ain) dan manfaat. Pemilikan tidak sempurna ini terbahagi kepada dua, iaitu:

i. Pemilikan Barang (Ain) Tanpa Manfaat

Pada asalnya, orang / pihak yang memiliki barang adalah juga pemilik manfaatnya. Tetapi, secara syara', dibenarkan pemilik bagi suatu barang tersebut tanpa memiliki manfaatnya. Contohnya, A sebagai pemilik suatu barang (pemilikan sempurna) mewasiatkan barang kepada B dan mewasiatkan manfaat barang tersebut kepada C selama 10 tahun. Seandainya A meninggal, maka B akan memiliki tersebut, tetapi manfaat barang tersebut adalah milik C selama 10 tahun. Contoh lain adalah A mewasiatkan manfaat rumahnya kepada D selama 10 tahun. Seandainya A meninggal, maka rumahnya (barang / 'Ain) tersebut boleh difaraidkan tetapi manfaat rumah tersebut selama 10 tahun kekal milik D.

Pihak yang memiliki barang tanpa manfaat tidak boleh menggunakan barang tersebut, dan tidak dibenarkan melalukan apa-apa yang menyebabkan manfaat barang tersebut dihalang (seperti musnahkan barang tersebut, dan lain-lain).

ii. Pemilikan Manfaat (Manfaah) tanpa 'Ain

Dibenarkan di dalam syariat islam bahawa memiliki manfaat tanpa barang. Terdaapt beberapa akad yang memberi contoh baginya seperti Ijarah, I'aarah, dan wasiat manfaat. Oleh itu, pemilikan manfaat menjadi milik penyewa (akad Ijarah), peminjam / pengguna (I'aarah), dan penerima wasiat (Wasiat manfaat). hal yang sama bagi Wakaf.

Dalam topik pemilikan manfaat tanpa 'Ain ini, Jumhur (kecuali Hanafiyah) membahagikan kepada dua keadaan yang berbeza iaitu pemilikan manfaat dengan hak penggunaan manfaat.

pemilikan manfaat pada pendapat jumhur adalah pihak yang boleh menggunakan manfaat barang tersebut, mahupun memindahkan kepada pihak lain, manakala hak penggunaan manfaat terhad terhadap pihaknya sahaja, dan tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain. Pada pandangan Hanafiyah, kedua-duanya tidak dibezakan. Pandangan yang rajih adalah pandangan Jumhur.


Ulama turut mengklasifikasikan pemilikan kepada Pemilikan Khusus (Milkiyah Khassah - Fardiyah) dan Pemilikan Umum (Milkiyah 'Aamah - Jama'iyah)

  • Pemilikan Khusus (Milkiyah Khassah - Fardiyah)

Pemilikan khusus ini adalah pemilikan yang bersifat individu mahupun kumpulan individu terhadap suatu benda. Dalam pemilikan khusus ini, dibahagikan kepada 2 iaitu pemilikan individu dan pemilikan secara bersama.

i . Pemilikan Individu - Pemilikan yang dimiliki (sepenuhnya) oleh seorang individu terhadap barang dan manfaat. Contohnya rumah, kereta, dan lain-lain.

ii . Pemilikan secara bersama - Pemilikan yang dimiliki secara berkumpulan / bersama (dua orang / pihak dan keatas) melalui sebab pemilikan seperti melalui pembelian, hibah, wasiat, pewarisan, ataupun syarikat (akad syarikah).

  • Pemilikan Umum (Milkiyah 'Aamah - Jama'iyah)

Pemilikan Umum adalah pemilikan yang bersifat dimiliki oleh ummah / seluruh umat, harta pemilikan ini bersifat untuk kemaslahatan ummah, bukan untuk dimiliki secara individu. Contohnya tanah, bangunan, harta Baitul Maal, dan lain-lain.

Kedua-dua pemilikan ini boleh berubah status, dari Pemilikan Khusus ke Umum dengan cara wakaf, dan Pemilikan Umum ke Khusus dengan cara penswastaan.

Infografik ringkas adalah seperti berikut:



Secara ringkasnya, pemilikan ada dua jenis yang utama iaitu sempurna / tidak sempurna dengan pemilikan individu / umum. Tahapnya pula dibahagikan seperti yang diterangkan di atas.


WallahuAlam
==========
*Pandangan peribadi penulis
**Rujukan : kitab al-Madkhal Ila Fiqh al-Muamalat al-Maaliyah


0 Comments