Mahal atau objek dalam akad muamalat adalah perkara asas. Ia merupakan salah satu daripada rukun akad, dan tujuan utama untuk melaksanakan akad. Tanpanya, tidak tercapailah kehendak atau hajat pihak yang berakad sama ada untuk pertukaran / imbal balik (Mu'awadat) mahupun sumbangan / tolong-menolong (Tabarru'at). Setelah merujuk kepada Ustaz Danial, di dalam kitab al-Madkhal ini diterangkan bahawa mahal ini salah satu daripada rukun akad, dan terdiri daripada dua perkara iaitu barang pertukaran (al-Mu'awwad) - bagi akad Mu'awadat / barang sumbangan (al-Mutabarruq Bihi) - bagi akad Tabarru'at dan barang pertukaran balas / barang gantian (al-Iwad).
- Barang Pertukaran (al-Mu'awwad) / Barang Sumbangan (al-Mutabarruq Bihi)
Barang pertukaran / sumbangan adalah sebahagian daripada mahal akad, yang mana hukum dan kesan akad bersangkutan dengannya. Dalam jual beli, barang pertukaran (al-Mua'awwad) tersebut adalah barang terjual, manakala untuk sewa pula, adalah manfaat daripada barang yang disewakan tersebut seperti menginap di rumah, menaiki kenderaan, pekerjaan doktor, dan lain-lain. Contoh bagi barang sumbangan (al-Mutabarruq Bihi) pula adalah seandaianya seseorang menghadiahkan rumah kepada orang lain, maka rumah itu sendiri adalah barang sumbangan.
Maka, mahal akad ini bolehlah didefinisikan sebagai 'apa yang terdiri diatasnya akad dari objek (Ain) atau manfaat'.
Disyaratkan keatas mahal ini adalah harta yang bernilai di sisi syarak (Maal al-Mutaqawwam). Harta tersebut mestilah yang dibolehkan (Halal), bukan yang haram. Hal yang sama bagi manfaat. Jadi, tidak sah jika berakad yang mana mahalnya adalah najis, atau manfaat yang ditegah seperti nyanyian, tarian atau lain-lain yang bercanggah dengan adab dan akhlak. Begitu juga berakad untuk melakukan pembunuhan. *untuk najis, terdapat pengecualian jika berlaku darurat yang memerlukan najis seperti najis haiwan, dan sampah sarap (dan lain-lain).
Dan disyaratkan juga keatas mahal ini adalah objek yang wujud, maka tidak boleh melaksanakan akad keatas barang yang tiada (tidak wujud), mengandungi unsur gharar seperti menjual buah sebelum masak. Maka, tidak dibolehkan untuk menjualnya kerana berpotensi/terdedah kepada kerosakan.
Dan disyaratkan juga keatas mahal ini adalah barang yang mampu untuk diberikan / diserahkan, baik secara fizikal mahupun secara hukum / pembuktian / konstruktif (Qabd Hukmi / Constructive Possession). Namun, Imam Malik berpandangan bahawa untuk akad Tabarru'at syarat ini tidak diwajibkan keatas mahal, maka dibolehkan berakad tabarru'at keatas barang yang tidak mampu untuk diserahkan seperti menderma unta yang melarikan diri, kerana ia tidak membawa kepada pertikaian seperti dalam akad Mu'awadat.
- Barang Pertukaran Balas / Barang Gantian (al-Iwad)
Dari segi bahasa Iwad bermaksud gantian balas / pengganti balik, dan dari segi istilah pula adalah sesuatu yang diberikan sebagai pertukaran di dalam akad. Ia berbentuk umum, boleh jadi wang mahupun selainnya.
Iwad ini adalah sesuatu yang digunakan sebagai ganti bagi Mu'awwad, dan ia wujud di dalam akad Mu'awadat tetapi tidak dalam akad Tabarru'at. Hal ini kerana dalam akad Tabarru'at, tiada barang gantian (bersifat satu hala). Manakala dalam akad Mua'awadat terdapat balasan diantara ahli / pihak yang melaksanakan akad. Contohnya, dalam jual beli terdapat barang (Mu'awwad), dan wang (Iwad), dan dalam sewaan, terdapat manfaat (Mu'awwad) dan upah - Ujrah (Iwad).
Syarat bagi Iwad juga sama seperti Mu'awwad dan Mutabarruq Bihi iaitu Maal harta yang bernilai di sisi syarak (Maal al-Mutaqawwam), wujud, dan boleh diserahkan. Seandainya melibatkan harga, maka harga tersebut perlulah jelas dan diketahui. Tidak sah jika harganya tidak diketahui.
Infografik ringkas adalah seperti berikut
WallahuAlam
==========
*Pandangan peribadi penulis
**Rujukan: kitab al-Madkhal ila Fiqh al-Muamalat al-Maaliyah
.jpg)
.jpg)
0 Comments