Muamalat: Jenis-Jenis Sighah Dalam Akad

 

Dalam muamalat, untuk melaksanakan akad perlulah menepati rukun dan syarat. Rukun bagi akad terdiri daripada tiga perkara iaitu Sighah (iaitu ijab dan qabul), Aaqidain (dua pihak / pihak yang berakad), dan Ma'qud Alaih (barang/ manfaat - apa yang diakadkan). Dalam kitab al-Madkhal, dinyatakan jenis serta ciri-ciri serta perbahasan berkenaan sighah ini.

Sighah: Ijab & Qabul

Para fuqaha berbeza pandangan dalam menentukan antara ijab dan qabul. Penerangan adalah seperti berikut:

  • Pandangan pertama : Hanafiyah berpandangan bahawa Ijab adalah apa yang dikeluarkan (alamat / tanda-tanda untuk berakad) pihak pertama yang bertindak untuk melaksanakan akad, dan Qabul adalah pihak kedua yang bertindak sebagai penerimanya.
  • Pandangan kedua : Jumhur Fuqaha dari Malikiyah, Syafieyah, dan Hanabilah berpandangan bahawa Ijab adalah apa yang dikeluarkan (alamat / tanda-tanda untuk berakad) oleh pihak yang mempunyai hak pemilikan, samada yang pertama atau kedua, dan Qabul pula adalah apa yang dikeluarkan sebagai tanda penerimaan hak pemilikan walaupun berlaku lebih awal.

Pandangan yang rajih adalah pandangan Hanafiyah kerana lebih tepat dengan berdasarkan kepada waktu apa yang dikeluarkan.

Untuk melaksanakan sighah ini, terdapat 3 cara iaitu melalui ucapan, perbuatan, dan diamnya pihak yang berakad.

1. Ucapan

Ucapan adalah salah satu cara spontan / semulajadi bagi menyatakan hasrat (niat). Ucapan ini terbahagi kepada dua jenis iaitu ucapan melalui lisan, dan ucapan melalui penulisan / catatan.

1.1 - Melalui lisan, para fuqaha menyukai ucapan berbentuk masa lalu (Fe'el Madhi). Namun, tidak menjadi masalah jika menggunakan ucapan berbentuk masa sekarang (Fe'el Mudhari') dan yang berbentuk perintah (Fe'el Amar) selagimana ucapan tersebut jelas dengan alamat / tanda / petunjuk akad dan difahami oleh pihak yang terlibat. Hal yang sama bagi yang menggunakan ucapan kiasan.

Dari sudut penggunaan bahasa, disyaratkan bahawa pihak yang terlibat dalam aqad perlu mengetahui bahasa yang digunakan. Jika tidak, tidak sah melainkan adanya penterjemah.

1.2 - Melalui penulisan / catatan pula adalah (sesuatu yang berbentuk) ucapan yang ditulis di atas kertas. Ijab berlaku ketika mana satu pihak menuliskan hasratnya tanpa melafazkannya, dan di qabulkan oleh pihak yang lain. Kedudukan penulisan adalah sama seperti ucapan melalui lisan. Syaratnya adalah penulisan itu mestilah jelas dan berkekalan. Maka tidak sah jika penulisan tersebut tidak kekal. Contohnya seperti menulis di atas air, atau udara.

2. Perbuatan

Sama seperti ucapan, akad juga boleh dilaksanakan menggunakan perbuatan. Dan perbuatan ini boleh jadi: isyarat, al-Ta'aati, dan lain-lain.

2.1 - Melalui isyarat, adalah sesuatu yang keluar (ijab) dari pihak yang terlibat melalui tangan, kepala, atau bibir.  Ia boleh dikeluarkan oleh orang yang boleh bercakap (berucap melalui lisan), orang yang tidak boleh bercakap tetapi boleh menulis, dan orang yang tidak boleh bercakap & tidak boleh menulis. Daripada situasi ini, terdiri 3 keadaan akad melalui isyarat:

  • Keadaan 1: Akad melalui isyarat oleh orang yang boleh bercakap. Contohnya seseorang menjual kereta dengan harga RM 10,000, lalu diqabulkan dengan cara isyarat melalui kepala (contoh: angguk), atau isyarat melalui tangan (contoh: tunjuk thumbs up, atau okay, dll)

Pandangan 1: Jumhur (Hanafiyah, Syafieyah dan Hanabilah) berpandangan bahawa tidak sah, kerana asal dalam menyatakan keendak dan kerelaan adalah melalui ucapan lisan, melainkan darurat.

Pandangan 2: Malikiyah berpandangan bahawa isyarat yang difahami adalah sah walaupun pihak yang terlibat tersebut boleh bercakap (ucapan lisan). Hal ini kerana yang menjadi keutamaan adalah kezahiran kehendak oleh orang yang berakad.

Pandangan yang rajih adalah pandangan Malikiyah kerana yang menjadi keutamaan akad adalah difahami, dan hal ini boleh berubah mengikut uruf setempat.

  • Keadaan 2: Akad melalui isyarat oleh orang yang tidak boleh bercakap, dan tidak boleh menulis. Bagi yang dalam keadaan ini, isyarat merupakan satu-satunya cara (wasilah) untuk menyampaikan kehendaknya, maka akad sah, dengan syarat isyarat tersebut difahami.
  • Keadaan 3: Akad melalui isyarat oleh orang yang tidak boleh bercakap, tetapi boleh membaca dan menulis. Bagi keadaan ini, terdapat perbezaan pandangan fuqaha kepada 2 pandangan:

Pandangan 1: Jumhur (Malikiyah, Syafieyah, Hanabilah, dan sebahagian Hanafiyah) berpandangan sah akan isyarat yang dikeluarkan olehnya difahami. Hal ini kerana apabila tidak boleh bercakap, cara berakad boleh dipindahkan kepada mana-mana cara lain (sama ada dengan cara menulis, mahupun melalui isyarat).

Pandangan 2: Satu riwayat lain dari Hanafiyah berpandangan bagi yang boleh menulis, tidak sah berakad melalui isyarat. Ini kerana menulis lebih jelas dan difahami berbanding isyarat yang mungkin menimbulkan keraguan.

Pandangan yang rajih adalah pandangan Jumhur, ini kerana isyarat yang difahami sudah memadai (jelas).

2.2 - Melalui al-Ta'aati (pertukaran serah terima - tanpa ucapan ijab & qabul), dari sudut bahasa bermaksud penyerahan atau mengambil dan memberi. Dari sudut istilah pula bermaksud  penyerahan khusus, iaitu penjual memberikan barang kepada pembeli, dan pembeli memberikan wang kepada penjual tanpa lafaz ijab & qabul. Terdapat dua pandangan berkenaan pelaksanaan akad ini:

Pandangan 1: Jumhur (Hanafiyah, Malikiyah, dan Hanabilah) berpandangan bahawa akad al-Ta'aati ini boleh dilaksanakan sama ada barang tersebut berharga tinggi atau rendah. Hal ini kerana orang sudah mengetahui / mengenali cara pembelian melalui ini dan itu menjadi petanda/ kezahiran redha. Namun Hanafiyah mensyaratkan harga perlulah jelas.

Pandangan 2: Syafieyah berpandangan bahawa tidak sah akad melalui al-Ta'aati kerana tiada dalil / petanda yang kukuh berakad dalam al-Ta'aati, serta asal untuk berakad adalah melalui ucapan (dengan lisan).

Pandangan rajih adalah pandangan jumhur, kerana orang telah mengenali cara al-Ta'aati ini (sudah menjadi uruf).

3. Diam 

Diam dari sudut bahasa bermaksud senyap, iaitu sesuatu yang berlawanan dengan bercakap. Dari sudut istilah, tidak terkeluar makna diam dari sudut bahasa (sama saja), iaitu meninggalkan percakapan / tidak bercakap walaupun mampu untuk melaksanakannya. Asalnya, diam ini tanda orang tidak berkehendak, kerana tiada apa-apa yang boleh bersangkutan / boleh dijadikan petunjuk bahawa seseorang itu berminat / berkehendak, tetapi dalam keadaan dan situasi tertentu, ia dikecualikan dan dianggap sebagai tanda redha untuk berakad.

Contohnya, seseorang mewaqafkan rumahnya kepada sekumpulan orang, dan setelah itu mereka hadir tetapi diam. Maka diamnya mereka dianggap qabul kerana ia bermanfaat buat mereka.

Infografik ringkas adalah seperti berikut

Secara ringkasnya, sighah akad dapat dilaksanakan dalam bentuk ucapan (lisan & penulisan), perbuatan (isyarat & al-Ta'aati), dan diam mengikut uruf, keadaan dan situasi.

WallahuAlam

==========

*Pandangan peribadi penulis

**Rujukan: kitab al-Madkhal ila Fiqh al-Muamalat al-Maaliyah


0 Comments