Pembahagian Akad Dalam Muamalat

 

Terdapat pelbagai jenis / pembahagian akad yang digunakan dalam urusan muamalat. Menurut kitab al-Madkhal ila Fiqh al-Muamalat al-Maaliyah, terdapat 8 pembahagian akad yang digunakan berdasarkan fungsi dalam urusan transaksi kewangan.

8 pembahagian akad tersebut adalah:


  • 1. Mu‘awadhat (Pertukaran)
Akad Mu'awadat adalah akad yang melibatkan pertukaran barang, manfaat atau harta di antara dua pihak. Biasanya akad ini digunakan untuk mendapatkan hajat bersama pihak lain termasuklah keuntungan.

Contoh akad yang terlibat adalah Bai' dan Ijarah.

  • 2. Tabarru‘at (Sumbangan / Derma - Tolong-menolong)
Seperti akad Mu'awadat, akad Tabarru'at juga melibatkan barang, tetapi bezanya ia dilakukan secara sukarela dan tanpa balasan. Tabarru'at ini lebih kepada bertujuan untuk memberi manfaat kepada pihak lain (biasanya orang terdekat seperti ahli keluarga, dan lain-lain).

Contoh akad yang terlibat adalah Hibah dan Sadaqah.

  • 3. Isqatat (Penolakan hak)
Akad isqatat adalah akad yang melibatkan pelepasan / gugur hak suatu pihak keatas sesuatu (secara sukarela). Biasanya isqatat ini datang atas dasar Ihsan keatas pihak lain. Selain daripada bersifat peribadi, isqatat ini juga diaplikasikan dalam perundangan.

Contohnya adalah pelepasan hak pemiutang.

  • 4. Itlaqat (Pemberian hak)
Akad itlaqat pula adalah akad yang memberikan keizinan kepada suatu pihak untuk melaksanakan sesuatu tindakan terhadap harta atau hak bagi pihaknya. Biasanya, kelebihan ini diberikan kepada pihak yang dipercayai.

Contoh akad yang digunakan pada masa kini adalah Wakalah.

  • 5. Taqyidat (had)
Akad Taqyidat adalah akad yang melibatkan sekatan (termasuk larangan) ke atas pihak lain atau harta / manfaat. Biasanya, sekatan atau larangan ini berkait rapat dengan hajat atau risiko bagi pihak yang mengenakannya.

Contohnya adalah syarat yang diletakkan dalam perjanjian. *Seandainya syarat tersebut tidak melanggar prinsip syariah, maka tidak menjadi masalah.

  • 6. Musyarakat (Perkongsian)
Akad Musyarakat adalah akad perkongsian modal baik samada tunai, harta, tenaga, liabiliti dan lain-lain untuk menjana pulangan samada keuntungan atau kerugian antara dua atau lebih pihak. Akad Musyarakat juga menjadi salah satu instrumen penting bagi pelaburan dan pembiayaan patuh syariah pada masa kini.

Contoh akad yang digunakan adalah Mudarabah dan Musyarakah (berbagai jenis/ pecahan).

  • 7. Tawthiqat (Jaminan)
Akad Tawthiqat adalah akad yang menjadi sekuriti atau jaminan bagi suatu akad lain yang dilaksanakan antara pihak yang terlibat. Biasanya digunakan sebagai 'perlindungan' seandainya sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Contoh akad yang digunakan adalah Rahn dan Kafalah.

  • 8. Istihfazat (Penjagaan amanah)
Akad Istihfazat adalah akad yang melibatkan penjagaan oleh suatu pihak terhadap harta pihak lain. Tidak seperti akad Mu'awadat, akad ini tidak melibatkan perpindahan milik harta yang dijaga dan juga tidak seperti akad Tawthiqat, Istihfazat ini lebih kepada penjagaan harta peribadi tanpa melibatkan akad yang lain.

Contoh akad yang digunakan adalah Wadi'ah.

Ringkasan infografik adalah seperti berikut


WallahuAlam
==========
*Pandangan peribadi penulis
**Rujukan: Kitab al-Madkhal ila Fiqh al-Muamalat al-Maaliyah

0 Comments