Kongsi: Mudarabah, Musyarakah, Dan Musaqat

Perkongsian adalah salah satu saluran / kaedah yang memainkan peranan penting dalam muamalat. Dalam akad perkongsian, terdapat banyak cabangnya yang diaplikasikan baik masa lalu mahupun sekarang. Antara contoh perkongsian adalah Mudarabah, Musyarakah, Musaqqah, dan lain-lain.

Kini, perbankan Islam banyak menggunakan mudarabah dan musyarakah untuk aktiviti pelaburan dan pembiayaan.

Mudarabah

Mudarabah adalah satu perkongsian untung melibatkan pihak yang memberi modal (Rabul Mal) dan pihak yang membuat kerja / memberi tenaga (Mudarib). Dalam pengamalan, Mudarabah mempunyai dua jenis iaitu terhad (restricted) dan tidak terhad (unrestricted). Memandangkan Mudarabah adalah kontrak berbasiskan kepercayaan (trust-based), Mudarabah boleh dibatalkan / ditamatkan pada bila-bila masa kecuali ketika Mudarib telah mula melaksanakan tugasnya (terikat sehingga pembahagian keuntungan), dan ketika terdapat perjanjian untuk melaksanakannya dalam satu tempoh yang dipersetujui untuk tidak batalkannya.

Dalam Mudarabah, seandainya berlaku kerugian maka pemberi modal yang menanggung kerugian (dari sudut modal). Hal ini kerana pihak yang membuat kerja telah melaksanakan kerjanya - menanggung kerugian dari segi tenaga tanpa balasan -.

Biasanya, Mudarabah ini banyak digunakan dalam produk pelaburan patuh syariah.

Musyarakah

Berbeza dengan Mudarabah, Musyarakah ini lebih banyak pecahannya. Menurut AAOIFI, Musyarakah yang klasik terdiri daripada tiga jenis, iaitu 

  • Perkongsian Berkontrak (Syarikat al-Inan) : perkongsian sumbang modal, dan kongsi untung / rugi berdasarkan perjanjian,
  • Perkongsian Reputasi / Kepercayaan (Syarikat al-Wujuh): perkongsian yang tidak menyumbang modal sebaliknya membeli secara hutang dan kongsi untung bersama, dan
  • Perkongsian Vokasional (Syarikat al-A'mal): perkongsian yang melibatkan tenaga dan kongsi hasil bersama.

Untuk yang moden pula, terdapat beberapa jenis Musyarakah yang lain seperti perkongsian Saham, Perkongsian Liabiliti Bersama, Syarikat Terhad Oleh Saham, dan lain-lain termasuklah Musyarakah Mutanakisah yang digunakan untuk produk pembiayaan perumahan (oleh sebahagian perbankan Islam).

Prinsip asas dalam Musyarakah adalah terdiri daripada dua orang atau lebih, mendapat persetujuan pembahagian untung / rugi bersama, sumber dan tujuan yang dibenarkan oleh syarak, dan dibenarkan untuk melantik pihak luar atau salah satu pihak dari rakan kongsi untuk menjadi pentadbir. orang bukan islam (non muslim) dan bank konvensional turut boleh menjadi rakan kongsi dalam Musyarakah.

Kini, Musyarakah digunakan sebagai produk pembiayaan dan juga produk pelaburan patuh syariah.

Selain Mudarabah dan Musyarakah, pada zaman silam terdapat akad perkongsian yang digunakan untuk pertanian seperti Musaqat, Muzara'ah, dan lain-lain.

Musaqat

Musaqat adalah sebuah akad perkongsian yang digunakan dalam aktiviti pertanian / kebun, dimana pemilik kebun dan rakan kongsi (kerja / tenaga) bersetuju untuk membahagikan hasil kebun dengan kadar yang dipersetujui. Dalam Musaqat, pokok atau tanaman di kebun telahpun wujud dan skop kerja rakan kongsi (tenaga) hanya perlu untuk menjaga (seperti menyiram air, dan lain-lain) dan menuai apabila telah wujud buah atau hasilnya. Manakala Muzara'ah, pokok atau tanaman masih belum wujud dan rakan kongsi tenaga perlu untuk mula dari awal (fasa penanaman).

Bagi Musaqat, penulis belum jumpa pengaplikasiannya oleh perbankan islam baik dalam pembiayaan mahupun pelaburan.

Infografik ringkas adalah seperti berikut


WallahuAlam

==========

*Pandangan peribadi penulis

*Rujukan: AAOIFI

0 Comments