Bermula dua minggu lepas, selepas keluar keputusan peperiksaan شهادة المراقب و المدقق الشرعي المعتمد / Certified Shari'ah Advisor & Auditor (CSAA), ramai yang bertanya tentang sijil dan pembelajaran yang sesuai untuk objektif masing-masing. Ada yang bertanya melalui aplikasi WhatsApp dan juga LinkedIn. Kebanyakkannya, jawapan yang saya berikan hampir serupa, cuma lebih fokus kepada bidang yang diminati oleh mereka.
*Perlu saya maklumkan bahawa apa yang saya kongsikan di blog saya ini hanyalah berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya yang juga sedang menekuni untuk menguasai bidang syariah, kewangan dan perbankan islam. Saya tidak dibayar/ ditaja oleh mana-mana pihak, hanya sekadar perkongsian sahaja. Perlu juga saya maklumkan bahawa maklumat yang ditulis di blog ini hanya sehingga waktu ini, dan seandainya terdapat perubahan dari segi silibus, akreditasi dan sebagainya pembaca perlu mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan. Perkongsian oleh pembaca berkenaan sijil dan pembelajaran juga amatlah digalakkan untuk manfaat orang ramai.
Berdasarkan pengalaman saya, pendedahan awal tentang dunia dan industri patuh syariah bermula dengan Shariah Compliance, Audit & Risk Management Executive Training yang disediakan oleh Malaysia Young Shariah Scholar Association (MySSA) / UI Platinum / Amanie Advisor. Dengan harga yang berpatutan, training ini disarankan kepada mahasiswa dan graduan untuk dapatkan gambaran industri ini. Industri ini tidak terhad hanya kepada perbankan, tetapi juga merangkumi aspek pelancongan, hospitaliti, sektor koperasi, dan lain-lain yang berkenaan.
Sijil Syariah, Kewangan, dan Perbankan Islam (beserta peperiksaan)
Berdasarkan pengalaman, Certificate In Shariah for Banking and Finance (CSBF) oleh IRCIEF Universiti Islam Selangor (UIS. Dahulunya KUIS) menawarkan program yang komprehensif. Program ini mengandungi 11 modul yang menyentuh secara teori dengan lebih mendalam perihal syariah dan pengaplikasiannya di institusi kewangan islam (serta takaful). Pembelajaran selama 11 minggu, setiap hari sabtu bermula jam 9 AM sehingga 5.30 PM (termasuk peperiksaan selepas tamat setiap modul). Pengajar terdiri daripada ahli shariah di industri dan pensyarah yang mahir dan berpengetahuan luas. Disarankan kepada graduan dan junior executive. IRCIEF turut menawarkan CSEBF yang memberikan tumpuan kepada aspek ekonomi.
Selain CSBF dan CSEBF, IIiBF Universiti Islam Malaysia (UIA/ IIUM) turut menawarkan program yang komprehensif iaitu Certificate in Islamic Banking and Finance (CIBF).
INCEIF University, universiti kewangan Islam (seliaan Bank Negara Malaysia) terkemuka menawarkan program Professional Certificate in Islamic Finance (PCIF) dengan memberikan fokus kepada 5 teras yang berbeza iaitu:
- Islamic Banking
- Takaful & Wealth Management
- Capital Market
- Shariah, dan
- Shariah Audit & Compliance
Terdapat juga program yang lain seperti Associate Qualification in Islamic Finance (AQIF) oleh IBFIM. Sijil ini mempunyai 3 tahap yang berbeza. Selepas AQIF, di peringkat pertengahan IQIF (intermediate), dan peringkat akhir CQIF (certified). Untuk AQIF, terdapat versi hadir secara bersemuka & secara self study (AQIF On The Go). Manakala bagi IQIF dan CQIF, secara bersemuka sahaja.
Untuk pengkhususan pengauditan syariah, IBFIM menawarkan Certified Professional Shariah Auditor (CPSA). CPSA menyusun silibus yang sangat menarik dengan praktikal, real world experience bagi pengauditan syariah.
Pembelajaran Syariah, Kewangan, dan Perbankan Islam (ada / tiada peperiksaan)
Selain yang disebutkan diatas, IBFIM turut menyediakan program e-learning yang menyentuh banyak topik. Anda boleh lawat dan rujuk di laman sesawang IBFIM. IBFIM antara pelopor e-learning yang unggul di Malaysia. Seperti IBFIM, INCEIF turut menawarkan e-learning namun melalui portal yang berbeza.
Di peringkat antarabangsa, terdapat platform e-learning yang khusus untuk pembelajaran Syariah, Kewangan, dan Perbankan Islam seperti TAIF Digital Institute. Terdapat lebih kurang 26 course yang ditawarkan. Namun, pembayarannya dalam matawang asing (AED dan USD). Pembayaran boleh dilaksanakan melalui Visa dan MasterCard. Pada tahun lepas TAIF menawarkan 26 course tersebut dengan harga 100 USD pada bulan Ramadan.
Bagi pembelajaran yang secara bersemuka, banyak bengkel dan seminar yang dianjurkan. Antaranya oleh CERT Events, Associate of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS), RED Money, dan lain-lain. Anda boleh ikuti perkembangan terkini dengan melayari laman sesawang atau media sosial.
Di peringkat antarabangsa juga terdapat badan yang menawarkan khusus secara bersemuka dan secara webinar. Antaranya oleh Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institution - AAOIFI (program Capacity Building Week), dan General Council For Islamic Bank and Financial Institutions (CIBAFI).
Fellowship/ Membership Professional Program (Ahli Badan Professional)
Setakat pembacaan saya, di Malaysia terdapat dua badan professional yang menawarkan sijil yang dikawal selia oleh mereka iaitu ASAS dan CIIF.
ASAS menawarkan 2 sijil iaitu Certified Shariah Advisor (CSA) dan Certified Shariah Practitioner (CSP). Kedua-dua sijil ini menawarkan silibus yang berkualiti serta relevant di Malaysia. Ramai peserta terdiri daripada pakar kewangan Islam, pengamal perbankan islam, para ilmuan syariah, dll. *Terdapat biasiswa oleh Yayasan Peneraju dan MARA.
Chartered Institute of Islamic Finance (CIIF) menawarkan sijil Chartered Professional in Islamic Finance (CPIF). CPIF mempunyai 4 tahap yang berbeza. Keempat-empat tahap ini mesti diselesaikan untuk mendapatkan CPIF. CPIF juga menawarkan silibus yang berkualiti serta relevant di Malaysia.
Di peringkat antarabangsa, terdapat 2 sijil fellowship yang ditawarkan oleh AAOIFI, iaitu Certified Shari'ah Advisor and Auditor (CSAA) dan Certified Islamic Professional Accountant (CIPA). CSAA memberikan tumpuan kepada aspek syariah, tadbir urus dan audit mengikut standard yang telah ditetapkan oleh AAOIFI. CIPA turut mengandungi aspek syariah, tadbir urus, dan audit, serta ditambah dengan standard accounting oleh AAOIFI. Bagi kedua-dua fellowship ini, bermula tahun kedua, pemegang sijil perlu submit 60 jam Continuing Professional Development (CPD) setahun untuk kekal active sebagai fellow.
Kesimpulannya, kesemua sijil dan pembelajaran yang ditawarkan adalah berkualiti, mengikut tahap dan kehendak orang. Ada yang baru bermula, mudah dengan tahap awal. Ada orang yang sederhana dengan pengalaman, ada sijil yang sesuai dengan mereka. Dan ada juga di peringkat expert, ada sijil yang sesuai dengan mereka.
Nilai sijil bukanlah pada "ini sijil yang paling tinggi" atau "sijil oleh badan professional ini lebih baik berbanding sijil dari badan professional itu", tetapi semua sijil terbaik bagi orang yang berkehendak di tahap masing-masing. Setiap orang ada cita rasa, ada impian yang ingin dicapai, dan berbeza dengan orang lain. Yang penting, anda pilih sijil yang sesuai dengan hajat anda. Begitu juga dengan pembelajaran. Tidak wajar membandingkan sijil dan pembelajaran (serta platform pembelajaran) jika tidak memenuhi kehendak dan tahap sendiri.
*Harapan saya, kesemua sijil menawarkan promosi (potongan harga, bayaran bulanan, Qard Hasan, kouta khas, zakat wakalah, dll yang berbentuk kebajikan) terutamanya bagi orang yang betul-betul ingin menekuni, mempunyai visi dan mengembangkan lagi aspek shariah.
Infografik secara ringkas adalah seperti berikut
WallahuAlam.
==========
*Pandangan peribadi penulis
.jpg)
.jpg)
0 Comments