Kaedah fiqh adalah rangkuman hukum secara umum (menyeluruh/kebiasaan) yang mana hukum bagi sesuatu perkara itu dapat dikenalpasti. Berikut merupakan 7 kaedah fiqh (yang tidak termasuk dalam kaedah fiqh utama) yang sering digunakan dalam Industri kewangan dan perbankan Islam.
1. Apa yang haram untuk diterima, haram memberinya
( ما حرم أخذه حرم إعطاؤه )
Seandainya menerima sesuatu perkara itu hukumnya haram, maka memberinya juga adalah dikira haram. Sebagai contohnya, riba. Riba adalah haram untuk diterima, begitu juga memberinya. Maka, muslim perlu untuk elak berurusan dengan produk/institusi kewangan yang mengamalkan transaksi riba.
Contoh lain adalah rasuah. Rasuah juga haram untuk diterima, maka memberinya juga adalah haram bagi muslim.
2. Hasil datang bersama tanggungjawab
( الخراج بالضمان ), dan
3. Risiko sejajar dengan keuntungan
( الغنم بالغرم )
Kedua-dua kaedah fiqh ini saling berkaitan. Tiada keuntungan bagi yang tiada risiko. Sebagai contohnya, berniaga. Pemilik perniagaan perlu mengambil risiko dengan menjual barang/manfaat untuk mendapatkan keuntungan. Sama keadaannya dengan pemilik sesuatu barang/manfaat yang disewakan. Keuntungan hasil sewaan adalah miliknya kerana risiko yang diambil olehnya. Bagi bukan pemilik perniagaan mahupun bukan pemilik barang sewaan, maka mereka tidak berhak untuk mendapatkan keuntungan kerana tiada apa-apa risiko yang diambil. Tetapi sebaliknya, jika perniagaan mengalami kerugian, mahupun barang sewaan tersebut rosak, maka yang perlu bertanggungjawab adalah pemilik perniagaan dan pemilik barang sewaan.
Contoh lain adalah pelaburan. Dalam pelaburan, risiko perlu diambil oleh pemilik kapital (Rab al-Maal). Oleh itu, keuntungan hasil pelaburan layak untuk diterima oleh pelabur oleh kerana risiko yang diambil olehnya. Seandainya berlaku kerugian, pemilik kapital menanggung kerugian.
4. Apabila berkumpul yang halal dengan yang haram, maka dimenangkan (dikira) haram
( إذا اجتمع الحلال والحرام غلب الحرام )
Seandainya berkumpul sesuatu perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka keseluruhannya dikira haram. Sebagai contohnya, percampuran wang haram (money laundering) melalui perniagaan yang halal maka keseluruhannya akan dikira haram. Hal yang sama bagi pembiayaan perniagaan yang bercampur antara halal dan haram, perlulah disingkirkan dahulu aktiviti perniagaan yang haram sebelum dibenarkan memohon pembiayaan IKI.
*Terdapat perbahasan ulama dalam penggunaan kaedah ini. Kaedah ini tidak terpakai/ terdapat pengecualian bagi perkara tertentu. Contohnya had peratusan tolerate limit (5% & 20%) bagi aktiviti perniagaan yang bercampur oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan juga Policy Document: Hajah and Darurah oleh Bank Negara Malaysia (BNM)
5. Tidak boleh bertindak/menggunakan milik orang lain tanpa izin
( لا يجوز التصرف في ملك الغير بلا إذن )
Seseorang itu tidak dibenarkan menggunakan barang/manfaat/hak milik orang lain tanpa mendapatkan keizinannya terlebih dahulu. Sebagai contohnya, pegawai Ar Rahnu tidak dibenarkan menjual emas yang disimpan (bukan dicagarkan untuk tujuan pembiayaan) oleh penyimpan di pejabat Ar Rahnu tersebut walaupun harga emas tinggi pada ketika itu.
Contoh lain adalah Mudarib (Investment Manager) tidak dibenarkan untuk melabur melebihi had yang telah ditetapkan oleh pemilik kapital, ataupun di tempat yang tidak menjadi pilihan pemilik kapital (restricted investment) walaupun berpeluang mendapat keuntungan yang besar, melainkan mendapatkan keizinan pemilik kapital terlebih dahulu. Jika terlanjur dan berlaku kerugian, maka mudarib perlulah membayar ganti rugi kepada pemilik kapital.
6. Jika terbatal suatu perkara, terbatal apa didalamnya
( اذا بطل الشيء بطل ما في ضمنه )
Jika terbatal sesuatu perkara, maka terbatal juga apa yang terkandung didalamnya. Sebagai contohnya, seorang usahawan membuat kontrak pembiayaan IKI secara murabahah untuk pembelian barang perniagaan secara ansuran. Setelah pihak IKI membeli barang tersebut dan menjualnya kepada usahawan secara ansuran, didapati barang tersebut adalah barang larangan. Oleh kerana tidak mendapat kelulusan undang-undang negara, maka pembelian barang tersebut oleh IKI adalah terbatal dan kontrak murabahah tersebut juga terbatal.
Contoh lain adalah pampasan takaful yang diberikan kepada penyumbang yang telah didapati tidak layak menerima sumbangan (oleh kerana tidak menepati syarat kelayakan untuk mendapat perlindungan - contohnya menipu ketika proses penyertaan takaful). Maka, hak untuk mendapatkan pampasan tersebut terbatal oleh kerana terbatalnya kontrak, dan syarikat takaful berhak untuk menarik semula wang pampasan yang diberikan. Terbatal kontrak asal, maka terbatal lah pampasan.
7. Apa yang diguna, tidak boleh digunakan (orang lain)
( المشغول لا يشغل )
Apa yang sedang digunakan/ diuruskan/ dimanfaatkan oleh seseorang, tidak boleh digunakan/ diuruskan/ dimanfaatkan oleh pihak yang lain. Sebagai contohnya, penjual komoditi tidak boleh menjualkan komoditi yang telah dijual olehnya kepada orang lain.
Dalam transaksi pembiayaan Tawarruq oleh IKI akan melibatkan 3 pihak, termasuk pembekal. Pada waktu sekian-sekian, transaksi penjualan komoditi berlaku. Pada waktu tersebut, tidak boleh berlaku pertindasan penjualan (contoh : Crude Palm Oil - CPO. Jika amount CPO dalam satu tanki tersebut adalah 1 tan, maka transaksi yang dibolehkan bagi suatu masa tersebut hanyalah 1 tan. Tidak boleh berlaku pertindihan transaksi yang melebihi 1 tan bagi tanki yang sama. Jika berlaku, maka tidak patuh syariah).
Contoh lain adalah sewa beli. Tidak dibenarkan untuk melakukan transaksi sewa beli pada masa yang sama, sama ada sewa beli untuk orang yang sama mahupun sewa kepada orang lain, dan beli untuk orang lain.
Ketujuh-tujuh kaedah fiqh tersebut sering digunakan dalam tujuan muamalat, terutamanya dalam industrial kewangan dan perbankan Islam. Namun, kaedah fiqh terdapat pengecualian bagi perkara-perkara tertentu.
Walaupun kaedah fiqh membantu memudahkan Pegawai Syariah, Juruaudit Syariah, Jawatankuasa Syariah (dan lain-lain pekerjaan yang sewaktu dengannya) dalam mendapatkan gambaran awal hukum bagi sesuatu perkara, tetapi kaedah fiqh tidak dapat diaplikasikan tanpa penelitian yang mendalam. Setiap perkara perlu diteliti secara menyeluruh sebelum memberikan pandangan/ fatwa bagi IKI.
Infografik ringkas adalah seperti berikut
WallahuAlam.
==========
*Pandangan peribadi penulis.
**Rujukan : Islamic Legal Maxims & Their Application in Islamic Finance
..........
Selain tujuh kaedah fiqh diatas, berikut merupakan 5 kaedah fiqh yang utama:
i. Setiap perkara bergantung kepada tujuan
Matters are determined by intention
( الأمور بمقاصدها )
ii. Kesukaran menyebabkan kemudahan
Hardship begets facility
( المشقة تجلب التيسير )
iii. Keyakinan tidak hilang dengan keraguan
Certainty is not overruled by doubt
( اليقين لا يزول بالشك )
iv. Tidak mudarat dan tidak memudaratkan
Damage is removed
( الضرر يزال )
v. Adat dijadikan pengukur/penimbang tara
Custom is authoritative/ binding
( العادة محكمة )
.jpg)
.jpg)
0 Comments