6 Jenis Pilihan (Khiar) Pembatalan Kontrak Dalam Muamalat




Khiar adalah pilihan yang diberikan kepada pihak yang mematerai kontrak sama ada untuk meneruskannya, membatalnya, atau pilihan lain (reconsider) dalam tempoh tertentu dengan syarat tertentu. Dalam muamalat, khiar ini boleh diamalkan seandainya mendapat persetujuan pihak-pihak yang terlibat. Khiar terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama adalah khiar untuk membatalkan kontrak baik atas sebab berlaku kecurangan/ penipuan oleh pihak yang mematerai kontrak, mahupun atas sebab barang/ manfaat itu sendiri. Jenis yang kedua adalah Khiar untuk pilihan lain (reconsider).

Bagi khiar untuk membatalkan kontrak, terdapat enam keadaan, seperti berikut:

i. Khiar al-Taghrir

Khiar al-Taghrir adalah pilihan untuk batalkan kontrak oleh kerana penipuan verbal oleh penjual (dan pihak yang sewaktu dengannya) yang membawa kepada peningkatan harga berbanding pasaran.

Contohnya, berlaku penipuan harga asal dalam jual beli Murabahah. Dalam Murabahah, harga asal dan keuntungan perlu dijelaskan kepada pihak yang terlibat tanpa sebarang penipuan. Oleh itu, seandainya berlaku penipuan, maka pihak pembeli boleh menggunakan khiar ini untuk membatalkan pembeliannya.

Contoh lain adalah penipuan oleh pihak penjual yang menyatakan barang/ manfaat yang ingin dibeli/ disewa/ dll oleh pembeli adalah memenuhi kesemua ciri-ciri/ sifat-sifat seperti yang diinginkan oleh pembeli. Hal ini termasuklah dalam pelaburan, share syarikat, dan lain-lain.


ii. Khiar al-Tadlis

Khiar at-Tadlis adalah pilihan untuk batalkan kontrak oleh kerana penipuan yang melibatkan pengurusan/ tadbir urus/ atau tindakan oleh penjual (dan pihak yang sewaktu dengannya) yang membawa kepada peningkatan harga barang/ manfaat tersebut.

Contohnya, penjual catkan kereta lama yang ingin dijual supaya kelihatan baru dan pembeli tertipu lalu membelinya dengan harga yang mahal kerana menyangka kereta tersebut baru, maka pembeli tersebut boleh membatalkan pembeliannya. Contoh lain adalah pemalsuan label.

Syarat pelaksanaan khiar ini adalah penipuan tersebut adalah dirancang oleh penjual dan pembeli tidak mengetahui akan penipuan tersebut ketika menandatangani kontrak. Seandainya penipuan ini berlaku secara tidak sengaja oleh penjual, atau penipuan tersebut dihilangkan/ dikeluarkan maka tidak boleh untuk menggunakan khiar ini.

iii. Khiar al-Ghabn

Khiar al-Ghabn adalah pilihan untuk batalkan kontrak oleh kerana harga yang barang/ manfaat yang terlalu tinggi/ keterlaluan/ melampau (menurut pakar) oleh penjual.

Contohnya, seseorang yang menjadi orang tengah bagi pelanggan dan penjual asal menjual barang dengan harga yang tinggi melebihi harga pasaran. Contoh lain adalah broker dan penjual bersepakat untuk naikkan harga melebihi harga pasaran.

Tiga khiar di atas adalah keadaan dimana berlaku penipuan diantara pihak yang mematerai kontrak. Bagi ketiga-tiga khiar di atas, syaratnya adalah pembeli tidak sedar/ mengetahui akan penipuan yang berlaku semasa menandatangani kontrak. Pembeli boleh meneruskan tanpa membatalkannya. Seandainya barang/ manfaat yang dibeli tersebut diserah/ diberikan kepada pihak ketiga, maka khiar tersebut terhenti dan tidak menjadi khiar bagi pemilik yang baru.

Tiga khiar di bawah adalah bagi keadaan barang/ manfaat itu sendiri.

iv. Khiar al-Aib

Khiar al-Aib adalah pilihan untuk membatalkan kontrak oleh kerana kecacatan pada barang/ manfaat. Pilihan ini diberikan kepada pembeli seandainya pembeli tidak perasan akan kecacatan barang/ manfaat sewaktu kontrak dimaterai. Syaratnya adalah kecacatan pada barang tersebut mengurangkan nilainya, memerlukan baiki yang mengeluarkan wang, dan bukan Bai’ al-Bara’ah.

v. Khiar Tafarruq al-Safqah

Khiar Tafarruq al-Safqah adalah pilihan untuk membatalkan kontrak oleh pembeli kerana pecahan (ralat) barang yang dibelinya. Berikut merupakan empat pecahan daripadanya:

  • Penjualan (oleh syarikat) tanpa persetujuan partner
  • Sebahagian daripada barang yang dijual tersebut adalah milik orang lain
  • Sebahagian daripada barang yang dijual tersebut musnah sebelum dihantar kepada pembeli, dan
  • Sebagian daripada pulangan/ barang oleh pembelian Bai Salam tidak wujud (penghantaran separuh/ sebahagian sahaja daripada perjanjian kontrak)

vi. Khiar Fawat al-Wasf

Khiar Fawat al-Wasf adalah pilihan untuk membatalkan kontrak oleh pembeli apabila ciri-ciri/ spesifikasi bagi sesuatu barang/ manfaat itu hilang seperti yang dijanjikan dalam kontrak. Ciri-ciri/ spesifikasi barang/ manfaat yang hilang tersebut mestilah patuh syariah, spesifik, dan berkaitan dengan hajat pembeli.

Sebagai contohnya, pembeli ingin membeli sebuah kereta model sekian-sekian, berwarna sekian. Setelah perjanjian dimaterai, kereta yang dijual oleh pembeli tidak memenuhi ciri-ciri/spesifikasi oleh pembeli. Maka, pembeli berhak untuk menggunakan khiar ini.

Infografik ringkas adalah seperti berikut


WallahuAlam
==========
*Pandangan peribadi penulis
**Rujukan : AAOIFI

0 Comments