Muamalat : Hukum Penggunaan Wang Kecil & Wang Kertas

 

Terdapat perbahasan berkenaan money creation dalam Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-19 (Muzakarah 2025) yang berlansung di Bangkok, Thailand pada Julai yang lalu. Tajuk ini sangat menarik dan perlu diberikan perhatian kerana ia berkait rapat dengan sistem perbankan seperti fractional reserve yang sering dikatakan sebagai sistem yang 'create money out of thin air'. Saya tidak berpeluang untuk sertai Muzakarah tersebut, namun tajuk ini menarik minat saya untuk berbincang bersama rakan sekerja dari Jabatan Syariah, Ust Azim untuk meneliti berdasarkan pada hukum asal tentang penggunaan wang ini.

Berdasarkan kitab al-Muamalat al-Maaliyah al-Mu'asirah, karya Dr. Muhammad Uthman Thabir, membahagikan tajuk ini, hukum menggunakan wang kepada 3 kategori dan yang pertamanya adalah berkenaan Thamaniyah al-Nuqud (nilai wang). Wang di sini dibezakan antara Fulus (wang kecil) dan Nuqud Warqiyah (wang kertas).

Nilai Fulus / Wang kecil  (Thamaniyah al-Fulus)

Berkenaan Fulus ini, manusia sudahpun mula menggunakannya sejak sebelum kedatangan Islam lagi dan ulama berbeza pandangan berkenaan nilai Fulus ini. Terdapat 2 pandangan iaitu:

  • Pandangan pertama: Malikiyah, Hanafiyah, dan satu pandangan daripada Imam Ahmad berpandangan bahawa fulus ini mempunyai nilai wang (yang sama seperti emas dan perak). Lalu, diwajibkan keatasnya zakat, serta hukum riba. Maka, tidak dibenarkan untuk pertukaran secara tangguh (apabila melibatkan barang ribawi) serta tidak dibenarkan untuk memberikan pulangan lebihan (melalui pinjaman apabila juga melibatkan fulus). Ini kerana manusia mengiktirafnya sebagai wang.
  • Pandangan kedua: Syafieyah, satu pandangan lain dari Hanafiyah, serta pandangan kedua Hanabilah berpandangan bahawa fulus tidak mengambil sifat nilai wang (seperti emas dan perak), lalu tidak diwajibkan zakat melainkan bertujuan perniagaan. Fulus juga tidak tertakluk hukum riba keatasnya maka dibolehkan urusan tertangguh serta penambahan (sesama jenis fulus).
Pandangan yang rajih adalah pandangan pertama, kerana Islam mengiktiraf penggunaan fulus sama seperti emas dan perak.

Nilai Matawang / wang kertas (Thamaniyah al-Nuqud al-Warqiyah)

Berkenaan penggunaan Nuqud Warqiyah ini, ulama kontemporari juga berbeza pandangan. Terdapat 3 pandangan iaitu:

  • Pandangan pertama: Terdapat sebahagian ulama antaranya al-Syeikh Abdul Qadir bin Ahmad bin Badran, dan al-Syeikh Ahmad al-Husaini yang berpandangan bahawa Nuqud Warqiyah bukan wang (yang bernilai - secara syara') tetapi surat hutang (seperti Bon / Sukuk) oleh pengeluarnya iaitu daulah (kerajaan). Oleh itu, ia tidak mengambil hukum (sifat) nilai wang. Tetapi sebaliknya ia mengambil hukum hutang (al-Dayn) yang mana tidak dibenarkan untuk jual beli dengannya secara hutang, mahupun dijadikan sebagai modal dalam Salam, dan diwajibkan zakat (pada pandangan Hanafiyah).
  • Pandangan kedua: Terdapat sebahagian ulama yang lain seperti al-Syeikh Abdul Rahman al-Sa'di dan al-Sheikh Yahya Amaal yang berpandangan bahawa Nuqud Warqiyah adalah (mengambil hukum) 'urudh, dan tidak mengambil hukum (nilai) wang. Oleh kerana ia mengambil hukum 'urudh keatasnya, maka tidak ada hukum riba padanya, dan tidak sah dijadikan sebagai modal Salam (bagi mereka yang berpandangan syarat salah satu imbalan Salam adalah wang), dan tidak diwajibkan zakat (melainkan bertujuan perniagaan).
  • Pandangan ketiga: Majoriti pandangan ulama kontemporari seperti al-Shaikh Abu Bakar Hasan al-Kashnawi, al-Sheikh Abdullah bin Mani', dan Dr. Yusof al-Qaradawi berpandangan bahawa Nuqud Warqiyah pengganti wang emas dan perak dan mempunyai sifat (nilai) wang. Dan ia juga mengambil hukum wang yang mana boleh berlaku riba (jika berlaku pertukaran dengan jenisnya sendiri). Maka, tidak dibenarkan untuk pertukaran beserta penambahan jumlahnya mahupun penangguhan dari segi pertukarannya. Ia boleh dijadikan sebagai modal Salam, dan diwajibkan zakat jika mencapai nisab.
Pandangan yang rajih adalah pandangan ketiga iaitu Nuqud Warqiyah ini mencapai martabat wang emas dan perak dari segi pengamalan, dan ia mengambil nilai wang. Hal ini kerana diperingkat am, mengiktirafkannya sebagai wang dan nilainya.

*Setiap pandangan ini mempunyai penghujahan yang spesifik di dalam kitab, namun tidak dibahaskan di sini. Begitu juga dengan pandangan rajin, turut mempunyai penghujahan bagi penerimaan pandangan serta penolakan pandangan yang lain.

infografik ringkas adalah seperti berikut:


Kesimpulannya, wang kecil (fulus) dan wang kertas (nuqud warqiyah) mengambil hukum, sifat, dan nilai wang sepertimana emas dan perak dari segi pengamalan.

WallahuAlam

==========

*Pandangan peribadi penulis

*Rujukan: kitab al-Muamalat al-Maaliyah al-Mu'asirah

0 Comments