Maksud akad dari segi bahasa adalah ikatan, simpulan, perjanjian dan dari segi istilah membawa maksud persepakatan antara dua pihak melalui / dengan cara ijab dan qabul. Dalam muamalat, akad ini mempunyai banyak jenis dan sifatnya. Setiap akad mempunyai fungsi dan kegunaannya tersendiri mengikut keadaaan yang sesuai untuk dipraktikkan. Untuk melaksanakan akad, disyaratkan seseorang itu ahl Tasarruf (Baligh dan tidak dangkal dalam berbelanja), Redha (bukan paksaan), dan barang (atau lain) yang digunakan untuk akad itu wujud, dan maklum.
Jenis-jenis dan sifat-sifat akad adalah seperti berikut:
i. Aspek pembatalan : Akad Lazim dan Akad Jaiz
- Akad Lazim adalah sutu akad yang tidak boleh dibatalkan oleh pihak yang berakad melainkan persetujuan / redha daripada pihak lain yang terlibat. contohnya jual beli. Manakala
- Akad Jaiz (Ghair Lazim) pula adalah satu akad yang boleh untuk dibatalkan oleh suatu pihak yang berakad. Contohnya syarikah.
- Namun terdapat khilaf bagi sesetengah akad yang lain samada Akad Lazim atau Akad Jaiz. Contohnya seperti pertandingan. Sebahagian ulama ada yang berpendapat pertandingan adalah Akad Lazim sama seperti Ijarah (sewa) dan sebahagian yang lain berpendapat Akad Jaiz, sama seperti Ju'alah (imbalan).
ii. Aspek kesahihan : Akad Sahih, Akad Batil, dan Akad Fasid
- Akad Sahih adalah akad yang memenuhi rukun, syarat, sifat dan sah untuk dilaksanakan.
- Akad Batil pula adalah akad yang tidak memenuhi syarat, dan sifat atau mempunyai kecacatan pada rukun atau tempatnya. Manakala
- Akad Fasid menurut Hanafiah membawa maksud akad tidak sah, tetapi tidak terbatal jika dibaiki. Hal ini kerana tidak sempurna sifat, tetapi sempurna dari segi rukun dan tempatnya. Contohnya jual beli barang yang belum / tidak dispesifikkan.
iii. Aspek pelaksanaan - Kuasa : Akad Nafiz dan Akad Mauquf
- Akad Nafiz bermaksud Akad Sahih yang dilaksanakan oleh orang yang berkelayakan (ahl Tasarruf) atau wakilnya (samada melalui Wakalah dan sebagainya), atau suatu akad yang tidak tertakluk kepadanya hak orang lain, dan tidak perlu meminta izin.
- Akad Mauquf pula bermaksud suatu yang juga dilaksanakan oleh Ahl Tasarruf, tetapi tiada kelayakan / kuasa untuk melaksanakan transaksi seperti Ba'i Fodooli (Biasanya oleh kerana barang yang digunakan untuk akad tersebut bukan miliknya). Oleh itu, dari segi hukum Akad ini Mauquf (tergantung) dan perlu mendapatkan pengesahan daripada orang yang berkuasa / milik. Jika pemilik bersetuju, maka Akad Mauquf ini menjadi Sahih, tetapi jika pemilik tidak setuju, maka Batal.
iv. Aspek Pelaksanaan - Masa : Akad Munjaz, Akad Muallaq, dan Akad Mudhaf ilal Mustaqbal
- Akad Munjaz bermaksud akad yang terlaksana / berlaku secara segera.
- Akad Muallaq pula akad yang akan terlaksana (pada masa hadapan) jika terjadi sesuatu atau syarat dipenuhi. Manakala
- Akad Mudhaf ilal Mustaqbal pula akad yang tunda pelaksanaannya pada masa hadapan, namun berbeza dengan Akad Muallaq kerana tidak mengikat dengan syarat syarat.
0 Comments